ANGGOTA tentera Honduras turut mengambil bahagian dalam kempen memerangi nyamuk di  Tegucigalpa, semalam.
ANGGOTA tentera Honduras turut mengambil bahagian dalam kempen memerangi nyamuk di Tegucigalpa, semalam.

Tegucigalpa: Dengan bersenjatakan penyapu, penyodok dan cangkul, ribuan penduduk Hondura semalam mengambil bahagian untuk memusnahkan nyamuk yang membawa virus Zika.

Kira-kira 200,000 penduduk negara Amerika Tengah itu menghabiskan masa sepanjang hari memusnahkan tempat air bertakung di rumah dan taman serta menyembur racun serangga di kawasan yang disyaki menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Walaupun simptom yang dikaitkan dengan virus Zika tidak berapa serius, namun ia disyaki menyebabkan kecacatan pada bayi yang baru dilahirkan.

Ia juga dikhuatiri mempunyai hubungan dengan masalah saraf yang dihidap golongan dewasa.

Honduras yang mengisytiharkan darurat minggu lalu kerana virus berkenaan merebak terlalu cepat, kini mempunyai 4,400 kes Zika yang disahkan sejak pertengahan Disember.

Presiden Juan Orlando Hernandez memperuntukkan AS$10 juta (RM4.16 juta) untuk membendung virus berkenaan merebak.

“Data yang ada amat jelas. Setiap hari kes pesakit yang dijangkiti virus ini meningkat,” kata Hernandez ketika berucap melancarkan kempen pembasmian nyamuk itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 5:54 AM