HERNANDEZ (kanan) mahu rakan sepasukannya berwaspada ancaman Mueller. FOTO AFP
HERNANDEZ (kanan) mahu rakan sepasukannya berwaspada ancaman Mueller. FOTO AFP
AFP

Munich: Pertahanan Perancis, Lucas Hernandez berkata pasukannya yang juga penyandang juara Piala Dunia harus mengekang rakan sepasukannya di Bayern Munich, Thomas Mueller menjelang pertemuan dengan Jerman dalam saingan Euro 2020 awal pagi Rabu ini.

Hernandez menghabiskan dua musim bersama juara Bundesliga, Bayern selepas berhijrah dari Atletico Madrid pada 2019.

Pemain berusia 25 tahun itu dijangka disenaraikan dalam skuad Perancis berdepan beberapa rakan sepasukannya di Bayern dalam perlawanan di Allianz Arena yang menemukan dua gergasi Eropah itu.

Selepas dua tahun diketepikan daripada bola sepak antarabangsa, Mueller dipanggil kembali oleh jurulatih Jerman, Joachim Loew.

Hernandez melihat pemain tengah menyerang itu sebagai ancaman yang perlu disekat pertahanan Perancis.

Bintang Bayern berusia 31 tahun itu dijangka akan membuat penampilan ke-103 bersama Jerman dan memburu gol ke-40 buat Mannschaft.

"Dia kembali pada tahap terbaik dan berhak untuk berada dalam skuad Jerman. Kami tahu dia adalah seorang pemain yang bagus dan sangat cerdik," kata Hernandez.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 8:58 PM