TAMAYO Perry. FOTO Agensi
TAMAYO Perry. FOTO Agensi
AFP

Los Angeles: Peluncur Hawaii yang membintangi filem Pirates of the Caribbean, maut akibat serangan jerung, kata pihak berkuasa.

Tamayo Perry, 49, meninggal dunia di Pantai Malaekahana di Oahu, beberapa saat selepas insiden pada Ahad itu.

Perry melakonkan watak lanun dalam filem keempat kepada francais popular itu iaitu Pirates of the Caribbean: On Stranger Tides.

Dia juga muncul dalam siri televisyen, Hawaii Five-O dan Lost yang sebahagian besarnya difilemkan di kepulauan Hawaii, serta dalam filem luncur ombak pada 2002 iaitu Blue Crush.

Di samping penampilan menerusi skrin besar dan kecilnya, Perry adalah seorang ahli penyelamat dan peluncur profesional yang terkenal dalam masyarakat tempatan.

Pemangku Ketua Keselamatan Lautan Honolulu, Kurt Lager berkata, sebagai penyelamat, Perry disayangi oleh semua di pantai utara Oahu.

"Keperibadian Tamayo menular, dan sebagaimana orang menyayanginya, dia lebih menyayangi orang lain.

Datuk Bandar Honolulu, Rick Blangiardi ketika sidang media pada Ahad memaklumkan kematian Perry adalah tragis.

"Tamayo adalah seorang pemain air lagenda dan sangat dihormati. Dia dibesarkan di sini, dan ahli yang hebat dalam pasukan keselamatan lautan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 10:21 AM