JOHNNY Depp. FOTO AFP
JOHNNY Depp. FOTO AFP
AFP

New York: Selepas kontroversi perbicaraan fitnah membabitkan bekas isterinya, pelakon Johnny Depp muncul dengan pengeluaran album baharu, semalam.

Album berkenaan dikeluarkan Depp hasil kolaborasi dengan penyanyi rock Inggeris, Jeff Beck.

Album memuatkan 13 lagu, '18' itu menampilkan kebolehan Depp menyanyi dan bermain gitar kebanyakannya rakaman semula.

Ia adalah rekod yang tidak mungkin disenaraikan dalam himpunan Beck, bekas anggota The Yardbirds yang berusia 78 tahun itu.

Album itu termasuk nyanyian Marvin Gaye untuk What's Going On dan Isolation oleh John Lennon serta lagu klasik Velvet Underground, Venus In Furs.

Album itu turut memuatkan dua lagu yang ditulis sendiri bintang Pirates of the Caribbean berusia 59 tahun itu.

Sebelum ini, Depp dan Beck bertemu pada 2016, berkongsi minat mengenai kereta dan gitar'.

Beck berkata, dia mula menghargai kemahiran penulisan lagu yang serius dan telinga Depp untuk muzik sebelum mereka bekerjasama lagi untuk album baharu ini pada 2019.

Beck kini dalam lawatan di Eropah dengan Depp menjadi tetamu istimewa.

Terdahulu, kes perbicaraan Depp dan bekas isterinya, Amber Heard yang berlarutan enam minggu mendapat liputan dan perhatian dunia.

Depp memenangi saman fitnah bernilai AS$15 juta (RM66.73 juta) manakala Heard pula dianugerahkan AS$2 juta (RM8.9 juta)

Juri mendapati Heard, 36, memfitnah Depp dengan menyifatkan dirinya sebagai selebriti mewakili penderaan rumah tangga dalam artikel yang diterbitkan akhbar The Washington Post pada 2018.

Walaupun namanya tidak didedahkan dalam laporan itu, namun Depp berpendapat dia mengalami kerosakan reputasi berikutan penerbitan itu.

Selepas ini, Depp dijangka kembali berlakon dan membintangi filem Perancis, La Favorite dengan memainkan watak sebagai Raja Louis XV.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 10:18 AM