GERHANA matahari dilihat di Quintana Roo, Mexico pada 14 Oktober 2023. FOTO AFP
GERHANA matahari dilihat di Quintana Roo, Mexico pada 14 Oktober 2023. FOTO AFP
AFP

Washington: Enam banduan Amerika Syarikat (AS) memfailkan saman terhadap pihak berkuasa untuk membenarkan mereka melihat peristiwa astronomi terbesar tahun ini iaitu gerhana matahari pada 8 April.

Dalam hujahnya, banduan berkenaan menyatakan hak mereka untuk kebebasan beragama akan dicabuli jika perkhidmatan penjara negeri New York mengekalkan penutupan penjara yang dirancang ketika gerhana.

"Gerhana, seperti yang berlaku pada 8 April, diiktiraf oleh pelbagai agama sebagai acara istimewa yang memerlukan perhimpunan, perayaan, ibadat dan solat.

"(Banduan) masing-masing menyatakan kepercayaan agama yang tulus bahawa gerhana matahari April ini adalah acara keagamaan," kata mereka dalam hujahan yang dikemukakan pada 29 Mac.

Jabatan Pembetulan New York dalam notis dikeluarkan minggu lalu berkata, untuk kemudahan (penjara) dalam kawasan yang mana gerhana itu dapat disaksikan sepenuhnya, lawatan akan dibatalkan.

Menurut jabatan itu, banduan dalam tahanan negeri itu akan berada ke unit mereka, menjelang gerhana.

Sementara bagi negeri tertentu, banduan akan diberikan cermin mata keselamatan untuk melihat gerhana itu.

Banduan itu dalam writ saman mereka turut berhujah bahawa gerhana matahari diiktiraf sebagai peristiwa yang mempunyai kepentingan agama bagi penganut Kristian.

Seorang lagi plaintif berhujah bahawa gerhana mempunyai kepentingan agama bagi umat Islam.

Jabatan pembetulan enggan mengulas mengenai tuntutan mahkamah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2024 @ 10:32 AM