SEKUMPULAN kanak-kanak di Palembang menggunakan besen berisi air untuk melihat gerhana matahari.
SEKUMPULAN kanak-kanak di Palembang menggunakan besen berisi air untuk melihat gerhana matahari.
PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo juga tidak melepaskan peluang menyaksikan gerhana matahari di kediamannya di Bogor.
PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo juga tidak melepaskan peluang menyaksikan gerhana matahari di kediamannya di Bogor.
PENGUNJUNG menikmati suasana gerhana matahari penuh di pantai di Pulau Ternate.
PENGUNJUNG menikmati suasana gerhana matahari penuh di pantai di Pulau Ternate.
Agensi

Jakarta: Gerhana matahari penuh mengujakan penduduk Indonesia semalam, tetapi awan dan jerebu mengganggu pemandangan di beberapa lokasi di bahagian timur negara itu.

Di Palembang, antara lokasi gerhana matahari penuh dapat disaksikan, ribuan pengunjung kecewa selepas awan dan jerebu mengganggu pemandangan mereka.

“Sangat menyedihkan kerana kami tidak dapat melihat matahari dengan jelas,” kata seorang remaja, David Pratama.

Gerhana matahari separuh dapat dilihat di Australia, Asia Tenggara dan di Pasifik, tetapi sebahagian wilayah di Indonesia berpeluang melihat gerhana matahari penuh.

Pulau Ternate di Maluku menjadi tumpuan utama pelancong dalam dan luar negara kerana menjadi antara lokasi terbaik untuk melihat gerhana matahari penuh.

Apabila bulan berada tepat di tengah-tengah antara bumi dan matahari, sebahagian wilayah di Indonesia bergelap selama beberapa minit.

Penduduk negara itu tidak melepaskan peluang menyaksikan fenomena berkenaan manakala penganut agama Islam pula memenuhi masjid untuk mengerjakan solat sunat gerhana.

Di Jakarta, beratus-ratus pengunjung dan pelajar sekolah berkumpul di balai cerap dan diberikan cermin mata khas untuk melihat gerhana matahari.

“Kami sangat teruja kerana ini kali pertama saya melihat gerhana matahari,” kata seorang pengunjung, Santi yang hadir bersama anak perempuannya.

Kali terakhir rakyat Indonesia melihat gerhana matahari penuh pada 1983 dan perlu menunggu 33 tahun lagi untuk melihat kembali fenomena berkenaan.

Gerhana matahari penuh seterusnya berlaku Ogos 2017 dan boleh dilihat di Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2016 @ 9:12 AM