PELAJAR  menggunakan filem hitam untuk melihat gerhana matahari separa.
PELAJAR menggunakan filem hitam untuk melihat gerhana matahari separa.
Oleh Siraj Mohd Zaini


Shah Alam: Fenomena gerhana matahari separa yang berlaku pagi semalam tidak dilepaskan murid dan guru di Sekolah Kebangsaan Seksyen 13 di sini, yang turut mengadakan pelbagai acara mengenainya.

Program itu dimeriahkan dengan menjemput wakil murid dan guru dari 17 sekolah rendah di seluruh negeri.

Guru Besarnya Anis Ibrahim berkata, objektif utama program cerapan gerhana matahari itu bertujuan memberi peluang kepada murid untuk membuat kajian terhadap fenomena berkenaan.

Selain itu, katanya, ia juga bagi membolehkan murid menambah minat terhadap ilmu sains falak serta astronomi sejak usia kecil.

“Acara ini dianjurkan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan banyak sekolah memohon menyertainya, namun terpaksa dihadkan kepada 17 sekolah saja termasuk SK TTDI Jaya, SK TUDM Subang dan SK Sri Muda 2.

“Program bermula jam 7.50 pagi dengan taklimat sebelum cerapan gerhana dilakukan dengan bimbingan guru dan selepas itu diadakan solat sunat gerhana.

“Perkongsian ilmu mengenai gerhana turut diadakan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya ditemui di sini, semalam.

Program itu dirasmikan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Harian JPNS Shamsi Shah Harun.

Sementara itu, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Saujana Utama Nur Salsabila Batrisya Mohd Bauddin Bokhari, 11, berkata, peluang menyertai program itu memberikannya pengalaman yang sukar dilupakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2016 @ 8:43 AM