BENITO ketika hidup dalam kurungan di Ciudad Juarez. FOTO AFP
BENITO ketika hidup dalam kurungan di Ciudad Juarez. FOTO AFP
AFP

Mexico City: Selepas sekian lama hidup sunyi dalam keadaan daif di dalam kurungan di utara Mexico, seekor zirafah dihantar ke taman safari bagi memulakan kehidupan baharu.

Ahad lalu, zirafah jantan bernama Benito itu menempuh perjalanan kira-kira 2,000 kilometer (km) dari negeri Ciudad Juarez berhampiran sempadan Mexico-Ameria Syarikat ke Safari Afrika di Puebla.

Menurut pengurusan zoo, haiwan itu akan tinggal bersama zirafah lain dalam keadaan yang lebih serupa dengan habitat semula jadinya.

"Adalah penting untuk Benito berada dalam keadaan baik, dekat kandang, di mana ia boleh berada (dalam keadaan) suhu terkawal dan (mendapat) semua makanan yang diperlukannya.

"Kami akan menempatkan Benito dalam kumpulan besar, bersama (zirafah) yang dewasa dan kecil," tambahnya.

Perjalanan menggunakan treler khas itu diiringi oleh pasukan pakar dan secara keseluruhan, dijangka mengambil masa kira-kira 50 jam.

Pemindahan itu susulan kempen oleh pemuliharaan yang mengkritik habitat tidak sesuai di Ciudad Juarez yang menyebabkan Benito berada di bawah pengaruh suhu melampau.

Pada pertengahan Januari, seorang hakim mengarahkan Benito dihantar ke Puebla.

"Hari ini adalah hari yang sangat menggembirakan kami.

"Ia adalah kemuncak kerja keras selama hampir sembilan bulan, cuba menyedarkan rakyat, dan meminta kerajaan mendengar rayuan kami, membenarkan Benito dihantar ke tempat perlindungan, ke kawasan yang lebih baik supaya ia menikmati kualiti hidup yang baik.," tambahnya.

Kempen itu mendapat sokongan People for the Ethical Treatment of Animals (Peta), sebuah kumpulan hak asasi haiwan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), yang menggesa penyokongnya untuk bersuara untuk 'zirafah kesepian' di Mexico.

Katanya, Benito sebelum ini tinggal bersendirian dalam kandang dengan sampah bertaburan, tanpa rumput, tempat teduh dan perlindungan yang sesuai di kawasan yang mengalami keadaan cuaca melampau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 12:50 PM