KEKASIH ketua kartel mati ditembak. FOTO Agensi
KEKASIH ketua kartel mati ditembak. FOTO Agensi
Agensi

Mexico City: Hanya beberapa bulan selepas pembunuhan ngeri terhadap ketua kartel dadah, Alexis 'El Alexis' Martinez di wilayah Jalisco, kekasihnya pula menjadi mangsa.

Paulina Arreola Perez, 26, antara trio gengster yang dikenali sebagai Las Novias de La Union, bersama-sama Valeria Diaz dan Nayibi Mustafa.

Ketiga-tiganya mati dibunuh dalam tempoh 12 bulan lalu.

Sejak kematian Martinez, Perez menjalankan perniagaan menjual kasut dalam talian dan polis percaya pembunuhan wanita itu mungkin ada kaitan dengan teman lelakinya.

Daily Star melaporkan polis percaya dia mungkin dibunuh seseorang yang menyamar sebagai seorang pelanggan.

Lelaki bersenjata yang menunggang motosikal menembaknya.

Ketika kejadian, Perez bersama seorang rakan lelaki dikenali sebagai Eduardo Arturo Trejo di kawasan Benito Juarez di Mexico City, 9 Jun lalu.

Perez ditembak sekurang-kurangnya sembilan kali dan Eduardo, dua kali, semasa mereka duduk di dalam kereta wanita itu.

Pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian membawa mereka ke hospital, namun kedua-duanya kemudian disahkan meninggal dunia.

Perez dipercayai menjadi sasaran kerana hubungannya dengan kumpulan penjenayah La Union Tepito.

Kumpulan itu terbabit dalam pembunuhan, penculikan, pemerasan dan pengedaran dadah di dalam dan sekitar ibu negara Mexico.

Sebelum ini, Karina Itzel Morales, teman wanita Martinez sebelum Perez, hilang secara misteri pada 2018.

Media melaporkan Martinez, dibunuh oleh pembunuh yang menyamar sebagai pekerja penghantaran di bandar Zapopan, Mac lalu.

Dia suka menunjukkan gaya hidup mewahnya melalui Instagram menerusi foto pelancongan ke Madrid, Paris dan Milan.

Lelaki itu juga dilihat memakai pakaian eksklusif yang direka khas selain barang peribadi dikatakan bernilai 200,000 peso (kira-kira RM41,000)

Perez pula menunjukkan kehidupan mewah di media sosial termasuk gambarnya yang sedang bercuti di Dubai, Athens dan Toronto, yang sebahagian besarnya dibayar dengan kad kredit klon.

Selepas kematian teman lelakinya, wanita muda itu menulis di media sosial, 'suatu hari kita akan bertemu lagi.'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 6:50 AM