PESAWAT Aeromexico. FOTO Agensi
PESAWAT Aeromexico. FOTO Agensi
AFP

Mexico City: Sebuah pesawat terpaksa membatalkan pendaratan di ibu negara Mexico, demi keselamatan bagi mengelak pertembungan dengan sebuah lagi pesawat yang berada di landasan.

Ia kejadian kedua seumpama itu yang berlaku sejak beberapa hari kebelakangan ini, di lapangan terbang yang sesak itu.

Syarikat penerbangan Aeromexico berkata, penerbangan AM762 terpaksa berlegar-legar di udara, pada petang Rabu, kerana sebuah pesawat lain masih berada di landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Benito Juarez, yang paling sibuk di Amerika Selatan.

Ia tidak menyatakan berapa ramai penumpang dalam pesawat itu, yang menurut laman web penjejak, penerbangan itu ialah Boeing 737-800 yang mempunyai 160 kapasiti tempat duduk dari Colombia.

Kementerian pengangkutan menyifatkan langkah itu adalah jalan keluar sebagai prosedur biasa yang tidak mewakili sebarang risiko.

Insiden sama turut berlaku pada Sabtu apabila sebuah pesawat yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Mexico Volaris membatalkan pendaratan untuk mengelak daripada melanggar sebuah pesawat yang berada di landasan.

Kebimbangan keselamatan udara timbul sejak ruang udara Mexico City menjalani konfigurasi semula berikutan pembukaan lapangan terbang antarabangsa kedua, Felipe Angeles, pada 21 Mac lalu.

Minggu lalu persatuan juruterbang melaporkan, perubahan itu mengakibatkan insiden keselamatan termasuk pesawat jet dengan bahan api rendah dan amaran pesawat berada dalam bahaya jika terbang rendah.

Pengawal trafik udara menerima latihan dan sokongan tentang cara mengendalikan konfigurasi baharu itu, kata Persekutuan Persatuan Juruterbang Penerbangan Antarabangsa (IFALPA) dalam buletin keselamatan bertarikh 4 Mei lalu.

Pakar menekankan cabaran mengendalikan dua lapangan terbang di bandar itu yang dikelilingi gunung dan pada ketinggian lebih 2,200 meter dari paras laut.

Setakat ini syarikat penerbangan hanya mengendalikan sebilangan kecil penerbangan harian dari Felipe Angeles, projek utama Presiden Andres Manuel Lopez Obrador yang dibina di pangkalan udara tentera di utara ibu negara.

Kerajaan menafikan konfigurasi semula ruang udara adalah punca kejadian dan bersetuju dengan syarikat penerbangan utama Mexico untuk mengurangkan operasi di Benito Juarez sebanyak satu perempat dalam tempoh setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 11:00 AM