LOGO X di ibu pejabat X di San Francisco, California. FOTO AFP
LOGO X di ibu pejabat X di San Francisco, California. FOTO AFP
AFP

San Francisco: Selepas pelbagai kontroversi dan aduan, Elon Musk akhirnya akur menurunkan semula papan tanda X yang dipasang di ibu pejabat syarikatnya, di sini.

Tanda X berkenaan yang dipasang Musk sebagai penjenamaan semula syarikatnya, terpaksa diturunkan berikutan ia tidak disenangi penduduk.

Penduduk membuat aduan, tanda bercahaya yang dipasang di bumbung pejabat berkenaan terlalu terang dan silau hingga mengganggu pemandangan pada waktu malam.

Ada juga yang mempertikaikan aspek keselamatan kerana melihat papan tanda itu tidak kukuh.

Pengarah Komunikasi Jabatan Pemeriksaan Bangunan dan Perancangan Bandar San Francisco, Patrick Hannan berkata, pihaknya menerima 24 aduan mengenai papan tanda itu termasuk kebimbangan mengenai keselamatan dan pencahayaan strukturnya.

"Pagi ini, pemeriksa bangunan melihat struktur itu diturunkan.

"Pemilik hartanah perlu membayar kos permit untuk memasang dan mengeluarkan papan tanda itu, serta kos penyiasatan bandar itu," katanya kepada AFP.

Seorang pemeriksa bangunan yang membuat susulan terhadap aduan pergi ke ibu pejabat firma teknologi itu pada Jumaat, namun tidak dibenarkan naik ke atas bumbung untuk memeriksa papan tanda itu, menurut aduan yang disiarkan di laman web perbandaran itu.

Sebaliknya, wakil syarikat terbabit memberitahu pemeriksa, struktur itu adalah tanda berlampu sementara untuk sebuah acara.

Percubaan kedua seorang pemeriksa untuk memeriksa papan tanda itu juga ditolak pada keesokannya.

Pihak berkuasa tempatan, menghantar syarikat itu notis amaran pelanggaran, dengan menegaskan mereka memerlukan permit yang sesuai untuk memasang papan tanda itu.

Dalam pada itu, Musk hanya membalas dengan emoji ketawa pada siaran seorang pengguna yang menyuarakan isu itu.

Jutawan itu menghapuskan logo burung Twitter yang dikenali di peringkat global awal minggu lalu.

Musk menjenamakan semula syarikat yang diharapkan dapat bertukar menjadi aplikasi super yang diilhamkan WeChat China, yang akan berfungsi sebagai platform media sosial serta menawarkan pemesejan dan pembayaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 10:40 AM