PROTOTAIP roket Starship. FOTO Agensi
PROTOTAIP roket Starship. FOTO Agensi
Agensi

San Francisco: Pengasas SpaceX, Elon Musk memberi bayangan bahawa roket Starship miliknya bersedia untuk mendaratkan angkasawan di bulan lebih awal daripada jangkaan sebelum ini iaitu pada 2024.

Daily Star melaporkan Musk membalas satu ciapan di Twitter pada Sabtu yang bertanyakan sama ada kapalnya itu bersedia untuk membawa angkasawan ke permukaan bulan menjelang 2024.

"Mungkin lebih awal," jawabnya dalam satu ciapan di media sosial itu.

Ia bertentangan dengan kenyataan baru-baru ini dari pemeriksa am Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (Nasa).

Pihak berkenaan mengatakan bahawa misi ke bulan dalam jangka masa ini tidak dapat dilaksanakan kerana terdapat banyak kelewatan dalam pembangunan pakaian khas untuk digunakan bagi tujuan itu.

Bagaimanapun, ada beberapa tanda bahawa dakwaan Musk mungkin benar.

Pasukan di SpaceX, baru-baru ini, mendedahkan prototaip roket Starship, sekali gus bakal melakar sejarah sebagai roket terbesar pernah dibina.

Selepas kajian semula alam sekitar oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), Musk dijangka dapat meneruskan pelancaran roket itu untuk ujian orbit pertamanya.

Ini mungkin bermakna Starship akan berada di orbit pada musim panas ini.

Musk yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tesla baru-baru ini dilaporkan berkata, manusia mesti pergi ke Marikh.

Menurutnya, ia adalah satu daripada beberapa cara untuk memastikan kelangsungan peradaban manusia bagi jangka masa panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 6:00 AM