FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Chicago: Malang nasib dua kru berita Univision, Chicago TV, di Amerika Syarikat (AS) apabila dirompak dengan senjata api ketika melaporkan kes rompakan bersenjata baru-baru ini, lapor ABC7.com.

Menurut Jabatan Polis Chicago, kejadian membabitkan pemberita dan jurugambar yang sedang bersiap untuk bersiaran langsung, pada 4.30 pagi, sebelum mereka dihampiri sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) hitam dan sebuah kereta sedan berwarna kelabu.

Tiga perompak yang memakai topeng ski kemudian keluar dari kereta dan menghampiri mereka sambil mengacukan senjata api.

Perompak itu merampas barang milik mangsa berusia 28 dan 42 tahun, selain turut mencuri kamera daripada jurugambar itu.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan.

Difahamkan, pemberita dan jurugambar terbabit sedang bertugas ketika kejadian untuk melaporkan kes rompakan bersenjata di seluruh bandar, termasuk membabitkan wanita pada malam Ahad di blok sama di mana mereka dirompak.

Pemberita dan jurugambar itu kini dalam keadaan baik.

Kes rompakan itu adalah yang kedua membabitkan kru unit berita Chicago TV.

Pada 8 Ogos lalu, seorang jurugambarnya diserang dan dirompak ketika bersiap untuk membuat liputan pada sidang akhbar di West Side.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 10:34 AM