KEADAAN udara di New York City. FOTO AFP
KEADAAN udara di New York City. FOTO AFP
Bernama-Xinhua

New York: Keadaan berjerebu dan kualiti udara yang buruk dijangka di sekitar negeri New York sekali lagi minggu ini akibat asap kebakaran hutan.

Gabenor New York, Kathy Hochul, pada Selasa mengeluarkan amaran itu hampir tiga minggu selepas asap daripada kebakaran hutan yang marak di Kanada mengakibatkan kualiti udara buruk di negeri itu yang disifatkannya sebagai 'krisis kecemasan.'

Berikutan Indeks Kualiti Udara (AQI) mencapai tahap 'tidak sihat' di kawasan tertentu termasuk barat dan tengah New York, Gabenor meminta penduduk berisiko seperti kanak-kanak, orang tua dan mereka yang mempunyai masalah pernafasan untuk mengelakkan aktiviti luar pada Rabu.

"Jika anda ingin mengetahui kesan perubahan iklim, anda akan merasainya esok dalam masa nyata. Perkara itu bukannya sesuatu yang kita bincang akan ditangani generasi akan datang, kita benar-benar generasi pertama yang merasai kesan sebenar perubahan iklim dan juga generasi terakhir yang melakukan sesuatu yang bermakna mengenainya," kata gabenor itu pada sidang media.

Agak sukar untuk meramalkan asap akibat tiupan angin tetapi penduduk barat dan tengah New York dapat melihat dan merasai kesannya mulai pagi Rabu, lapor Xinhua, memetik NBC News.

Menjelang Khamis, asap kebakaran dari Kanada dijangka sampai kepada penduduk New York City, katanya.

Dari 7 hingga 8 Jun, asap daripada kebakaran hutan yang marak di Kanada mencetuskan amaran kualiti udara di beberapa negeri AS.

Kira-kira 128 juta orang di negara itu berada di bawah amaran kualiti udara kerana asap kebakaran dan ozon.

Indeks kualiti udara di New York City mencapai tahap 'berbahaya' pada 8 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 4:08 PM