Agensi

Los Angeles: Seekor cimpanzi di Amerika Syarikat (AS) akhirnya berpeluang melihat dunia luar apabila dibebaskan selepas 29 tahun dikurung di dalam sangkar.

Daily Star melaporkan, cimpanzi diberi nama Vanilla itu dikurung di makmal eksperimen di New York sehingga dia berusia dua tahun, kemudian dipindahkan ke sangkar lain dekat tempat perlindungan di California.

Haiwan itu dikurung sejak lahir tanpa melihat alam semula jadi.

Tahun lalu, Vanilla dan sekumpulan spesisnya tiba di tempat perlindungan Save the Chimps di Fort Pierce, Florida, membolehkan mereka diberikan teman dan kebebasan untuk meneroka di luar tempat kurungan.

Dua minggu lalu, kumpulan haiwan itu berkongsi perkembangan terkini dan memaklumkan Vanilla berjaya dimasukkan ke dalam keluarga cimpanzi yang besar.

Satu rakaman video menunjukkan reaksi Vanilla yang seolah-olah gembira melihat langit cerah dan biru buat kali pertama.

Dalam klip video itu, Vanilla nampak teragak-agak apabila pintu dibuka pada mulanya.

Vanilla kemudian duduk di bucu pintu sehingga Dwight, seekor cimpanzi jantan datang menyambutnya dan memeluknya dengan erat.

Vanilla kemudian melompat ke dalam pelukan Dwight dan dilihat merenung ke langit, seolah kagum.

Ketika mengikuti cimpanzi untuk bertemu keluarga di tanah besar seluas 1.21 hektar, Vanilla asyik merenung awan di atasnya.

Kemudian, Vanilla dan kakaknya Shake bertemu di kawasan yang teduh di bawah pokok kayu tempat cimpanzi lain sedang berehat.

"Di California, Vanilla tinggal dengan segelintir cimpanzi di dalam sangkar pagar rantai tanpa rumput dan ruang yang sangat terhad," katanya.

Pakar itu berkata, Vanila menarik minat salah seekor cimpanzi di situ.

"Dia bergaul dengan semua 18 cimpanzi lain di habitat itu dan mempunyai hubungan rapat malah suka bermain dengan Dwight," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 1:14 PM