REAKSI Ed Dwight ketika keluar dari kapsul kru Misi NS-25 selepas mendarat berhampiran pangkalan Blue Origin dekat Van Horn, Texas, 19 Mei lalu. FOTO Blue Origin / AFP
REAKSI Ed Dwight ketika keluar dari kapsul kru Misi NS-25 selepas mendarat berhampiran pangkalan Blue Origin dekat Van Horn, Texas, 19 Mei lalu. FOTO Blue Origin / AFP
Agensi

Washington: Impian calon angkasawan kulit hitam pertama Amerika Syarikat (AS), Ed Dwight untuk ke angkasa lepas tercapai pada Ahad lalu, selepas menunggu peluang itu selama 60 tahun, lapor Agensi Anadolu.

"Kami baru sahaja menyelesaikan penerbangan manusia ketujuh ke angkasa lepas dan penerbangan ke-25 untuk program New Shepard.

"Kru angkasawan (Misi) NS25 kami termasuk Mason Angel, Sylvain Chiron, Ed Dwight, Ken Hess, Carol Schaller dan Gopi Thotakura," kata syarikat roket milik Jeff Bezos, Blue Origin menerusi X.

Penerbangan singkat selama 10 minit dengan Blue Origin itu menyaksikan Dwight, 90, mencipta sejarah dengan lima penumpang lain.

"Saya fikir saya benar-benar tidak memerlukan ini dalam hidup saya. Tetapi, sekarang, saya memerlukannya dalam hidup saya, saya sangat gembira," kata Dwight selepas keluar dari kapsul misi NS25 selepas ia selamat mendarat di Texas.

Pada mulanya, Dwight disyorkan sebagai calon angkasawan kepada Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (Nasa) oleh Tentera Udara semasa pentadbiran Presiden John F Kennedy.

Dwight bagaimanapun tidak dipilih untuk kelas angkasawan pada 1963, yang termasuk hanya angkasawan untuk misi Gemini dan Apollo, seperti Buzz Aldrin dan Michael Collins.

Walaupun ada kelayakan, Nasa tidak memilih angkasawan berkulit hitam pertamanya sehingga 1978, dan Guion Bluford yang menjadi orang Afrika-Amerika pertama di angkasa pada 1983.

Pada 1980, Kesatuan Soviet melancarkan angkasawan berkulit hitam pertama iaitu Arnaldo Tamayo Mendez, seorang warga Cuba berketurunan Afrika.

Selepas meninggalkan tentera pada tahun 1966, Dwight meneruskan pelbagai kerjaya, termasuk berkhidmat di IBM dan mengasaskan syarikat pembinaan sebelum memperoleh ijazah sarjana dalam bidang arca pada akhir 1970-an.

Arcanya, yang memberi tumpuan kepada sejarah individu kulit hitam.

Penerbangan angkasa lepas disertai Dwight, yang sebahagiannya dibiayai oleh Space for Humanity juga mencipta rekod baharu apabila Dwight menjadi individu tertua yang mengembara ke angkasa lepas.

Penerbangan pada Ahad adalah misi ketujuh syarikat itu dalam membawa pelancong angkasa lepas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 1:54 PM