DENNIS Barnes. FOTO Agensi
DENNIS Barnes. FOTO Agensi
Agensi

Washington: Pelajar sebuah sekolah menengah antarabangsa di New Orleans di Louisiana, Amerika Syarikat, mencipta rekod apabila menerima tawaran biasiswa berjumlah lebih AS$9 juta (RM40.13 juta), lapor The Guardian.

Dennis Barnes menerima tawaran itu daripada 125 kolej dan universiti apabila berjaya mengekalkan pencapaian akademik dengan purata mata gred kumulatif 4.98.

Pegawai sekolah itu berkata, Barnes bagaimanapun berharap dapat mengumpul tawaran biasiswa lebih daripada AS$10 juta (RM44.60 juta) dan sedang menunggu jawapan beberapa lagi daripada 200 kolej yang dimohonnya.

Katanya, mereka sudah menghubungi Rekod Dunia Guinness (GWR) untuk mengiktiraf Barnes.

Kejayaan Barnes menerima tawaran biasiswa itu menyaingi seorang lagi pelajar Normandie Cormier yang menerima jumlah tawaran sama daripada hampir 140 kolej selepas dia menamatkan pengajian di Kolej Awal di Lafayette, sebuah bandar di Louisiana, pada 2019.

Cormier memberitahu Guardian pada Selasa, bantuan yang ditawarkan kepadanya pada akhirnya meningkat kepada AS$9.4 juta (RM41.92 juta) dan dia meminta pengiktirafan daripada GWR.

Katanya, organisasi itu memberitahunya tiada lagi individu menerima tawaran biasiswa dengan jumlah terbabit di AS, tetapi tidak dapat mencipta rekod dunia kerana perbezaan sistem pendidikan tinggi di seluruh dunia.

Jurucakap GWR turut mengesahkan tiada rekod untuk tawaran biasiswa terbanyak yang dibuat kepada seorang individu.

Barnes ialah presiden Persatuan Kehormat Kebangsaan, kefasihannya berbahasa Sepanyol memperoleh kedua-dua diploma yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan, Kebudayaan dan Sukan Sepanyol serta anugerah daripada konsul kehormat Sepanyol di New Orleans.

Barnes mula memohon ke universiti pada Ogos lalu, dengan bantuan daripada kaunselor kolej sekolahnya dan mencetuskan apa yang disifatkan sebagai limpahan surat keputusan.

Remaja itu bercadang mengumumkan pilihan kolejnya pada 2 Mei ini.

Selepas majlis tamat pengajian pada 24 Mei depan, dia berharap dapat melanjutkan pengajian dwiijazah dalam sains komputer dan keadilan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2023 @ 11:36 AM