VARDY meraikan jaringan ketiga di Stadium King Power. FOTO AFP
VARDY meraikan jaringan ketiga di Stadium King Power. FOTO AFP
AFP

HARVEY Barnes dan Jamie Vardy masing-masing menjaringkan dua gol membolehkan Leicester mengukuhkan peluang ke Liga Juara-Juara musim depan selepas menewaskan Aston Villa 4-0, awal pagi tadi.

Skuad Brendan Rodgers hanya menang sekali dalam tujuh aksi terakhir Liga Perdana tetapi kekal di tangga ketiga dengan lapan mata di depan pasukan di tangga kelima, Manchester United dalam perebutan kelompok empat teratas.

Kekalahan meninggalkan Villa kekal menghuni zon penyingkiran dan peluang tampak tipis buat pelawat menyelamatkan diri dalam baki 10 perlawanan.

Tiada pasukan Liga Perdana yang gawang dibocori lebih banyak daripada Villa musim ini dan Leicester bijak memanfaatkan kelemahan pertahanan lawan terutamanya ketika ‘set piece’.

Pepe Reina menampan bola tandukan rendah Jonny Evans sebelum tandukan Kelechi Iheanacho dan Caglar Soyuncu tersasar.

Reina hanya menjadi penonton ketika Villa mengejutkan Leicester untuk mara ke final Piala Liga pada Januari lali dan keputusan Dean Smith menurunkan pemain Sepanyoll itu menggantikan Orjan Nyland memakan diri apabila dia gagal menyekat gol pertama lima minit sebelum rehat.

Bekas penjaga gol Liverpool itu meluru keluar menyelamatkan bola namun Barnes lebih pantas menolak bola ke gawang yang kosong.

Iheanacho kemudiannya terlepas peluang menggandakan jaringan pada awal babak kedua dan pemain Nigeria itu mungkin terpaksa memanaskan semula bangku simpanan selepas ini apabila Vardy kembali temui sentuhan penyudah berbisa.

Bekas penyerang England itu masuk sebagai pemain gantian selepas pulih kecederaan dan hanya memerlukan empat minit untuk menjaringkan gol pertamanya dalam 10 perlawanan menerusi penalti selepas bola hantaran Barnes terkena tangan Tyrone Mings.

Jaringan kedua Vardy terhasil 11 minit sebelum tamat perlawanan apabila rembatannya tepat menuju ke penjuru kiri gawang sekali gus mengukuhkan peluangnya memenangi Kasut Emas.

Barnes melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah selepas merembat kencang bola hantaran leret Marc Albrighton.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 7:37 AM