PARTEY boleh menyelesaikan masalah kerapuhan Arsenal di bahagian pertahanan. FOTO AFP
PARTEY boleh menyelesaikan masalah kerapuhan Arsenal di bahagian pertahanan. FOTO AFP
Agensi

London: Arsenal dinasihatkan untuk melupakan menandatangani Houssem Aouar sebalinya mereka lebih memerlukan Thomas Partey bagi memperkuatkan pasukan, selepas perkara itu disuarakan bekas bintang Liverpool dan England, John Barnes.

The Gunners kekal aktif dalam pasaran perpindahan untuk mendapatkan kedua-dua pemain tengah berkenaan menjelang tarikh akhir esok, selepas mereka dikaitkan dengan bintang Lyon dan Atletico Madrid itu sebelum ini

Bagaimanapun, kedua-dua pemain itu mempunyai perbezaan, dengan Aouar lebih kreatif dan lincar, manakala Partey kental beraksi di bahagian depan rangkaian pertahanan.

Barnes menyatakan apa yang diperlukan Mikel Arteta sekarang ini, kerana dia percaya bahagian serangan kelab itu tidak ada apa yang harus dirisaukan.

"Jika saya Arsenal atau Mikel Arteta, saya tidak risau mengenai Houssem Aouar, saya akan melihat di bahagian pertahanan.

"Arsenal memerlukan lebih ramai pertahanan dan mereka yang mempunyai kualiti. Bukan bahagian serangan yang perlu diperkuatkan, mereka sudah bagus di posisi itu.

"Apabila anda sudah berdepan bahagian pertahanan mereka ia sudah cukup untuk membuatkan mereka dilanda masalah dan itu adalah kepincangan mereka sekarang.

"Anda dapat bandingkan dengan Liverpool, di mana tiga pemain tengah mereka membantu rangkaian pertahanan.

"Itu perbezaannya, bekerja dalam satu pasukan dan ketika tidak memegang bola. Kebanyakan pasukan besar memerlukan kualiti di bahagian pertahanan dan bukan saja menumpukan kepada rangkaian serangan.

"Mereka dikaitkan dengan Thomas Partey iaitu pemain tengah bertahan yang sangat baik untuk membantu Arsenal. Dia boleh menjadi penyelesaian masalah yang diperlukan untuk menghalang daripada bolos lebih banyak gol terutama ketika di tempat lawan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 11:16 AM