MOSES Gibson sanggup menjalani pembedahan yang menyakitkan untuk menambah ketinggian. FOTO Agensi
MOSES Gibson sanggup menjalani pembedahan yang menyakitkan untuk menambah ketinggian. FOTO Agensi
Agensi

Minnesota: Gara-gara mahu menambah ketinggian, seorang lelaki di Amerika Syarikat (AS), nekad menjalani pembedahan menyakitkan.

Mirror UK melaporkan, ia kerana Moses Gibson tidak selesa dengan ketinggian asalnya iaitu 165.1 sentimeter (sm) hingga mendorongnya mengambil pelbagai ubat-ubatan.

Bagaimanapun, ia tidak berkesan hingga lelaki berusia 41 tahun itu nekad menjalani pembedahan menyakitkan.

Tindakan itu adalah alternatif walaupun ia menyebabkan beberapa tulangnya terpaksa dipatahkan.

Dia kemudian berjaya menambah ketinggian 7.62 sm pada 2016 melalui pembedahan berkenaan.

Namun, baru-baru ini, dia sekali lagi menjalani prosedur sama untuk menambah ketinggiannya dengan menggunakan peranti khas.

PERBEZAAN ketinggian lelaki itu selepas menjalani pembedahan berkenaan. FOTO Agensi
PERBEZAAN ketinggian lelaki itu selepas menjalani pembedahan berkenaan. FOTO Agensi

Moses membelanjakan AS$165,000 (kira-kira RM726,330) untuk dua pembedahan itu iaitu AS$75,000 (kira-kira RM330,150) untuk kali pertama dan AS$98,000 (kira-kira RM431,396) untuk kali kedua.

Ia dengan harapan dapat mencapai ketinggian sasarannya iaitu 178 sm menjelang Jun ini.

Sebelum ini, Moses bergelut dengan masalah 'ketinggian' dan ia menyebabkan dirinya sering menjadi bahan jenaka.

Kini, pemuda itu berkata, dia menjadi lebih yakin, malah sudah ada teman wanita.

"Ketika sekolah menengah pun saya selalu tak puas hati dengan ketinggian.

"Sejak saya berumur 15 tahun, saya sedar kebanyakan rakan sebaya saya lebih tinggi daripada saya.

"Saya pernah sukakan pakaian dan kasut, tetapi tidak gembira apabila memakainya serta mahu kelihatan lebih baik," katanya.

Bukan setakat itu, Moses pernah membeli ubat dalam talian dengan harapan menjadi lebih tinggi.

"Saya mengambil ubat itu sebelum menyedari ia karut dan terus hentikan pengambilannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 12:19 PM