DYNZELL Sigers menjalani pembedahan kompleks bagi menambah ketinggian. FOTO Agensi
DYNZELL Sigers menjalani pembedahan kompleks bagi menambah ketinggian. FOTO Agensi
Agensi

Washington: Selepas ditolak wanita kerana tubuhnya yang terlalu pendek, Dynzell Sigers, seorang veteran tentera laut dari Georgia, Amerika Syarikat (AS) nekad membelanjakan AS$ 81,000 (kira-kira RM379,809) untuk menjalani pembedahan mengubah bentuk fizikalnya.

Portal NDTV melaporkan, prosedur itu membantu meningkatkan ketinggiannya daripada 165 sentimeter (sm) kepada 183 sm.

"Sepanjang hidup, saya bergelut dengan keadaan diri yang bertubuh kecil dan tidak kira apa yang saya lakukan untuk mengubahnya, saya sentiasa berasa perkara yang sama.

"Pemanjangan anggota badan memberi saya peluang untuk mengubah hidup saya dan cara saya melihat kehidupan secara keseluruhan," kata Sigers, 27, dalam e-mel kepada The New York Post.

Sigers, 27, mendakwa sering ditolak oleh individu yang disukainya kerana terlalu pendek.

"Saya berpegang pada itu dan akan sentiasa mempertimbangkan ketinggian saya sebelum mendekati wanita, yang sering menyebabkan saya terlepas (banyak) peluang," kata anak kelahiran Atlanta itu kepada NeedToKnow.co.uk.

Menurut New York Post, selama bertahun-tahun, Sigers meneliti cara menambah ketinggian tetapi tidak berhasil sehingga terjumpa prosedur yang kemudian mengubah hidupnya.

Menurut Sigers, pembedahan memanjangkan anggota badan kelihatan seperti pilihan yang berdaya maju dan dia segera mengatur temu janji untuk prosedur berkenaan.

"Saya tidak mempunyai inspirasi tertentu dan hanya mahu mencipta semula badan dan minda saya.

"Cara yang lebih baik adalah meningkatkan ketinggian saya dan mendapatkan bentuk yang hebat," kata bekas pegawai perubatan tentera laut itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 12:50 PM