PERBEZAAN ketinggian Lovedale sebelum dan selepas menjalani pembedahan berkenaan.
PERBEZAAN ketinggian Lovedale sebelum dan selepas menjalani pembedahan berkenaan.
Agensi

New York: Hanya untuk menambah ketinggian tujuh sentimeter (sm), seorang lelaki sanggup membuat pinjaman AS$75,000 (kira-kira RM342,000).

Keputusan itu menyebabkan John Lovedale, 40-an, terpaksa membayar pinjaman sebanyak AS$1,200 (kira-kira RM5,400) sebulan untuk tempoh lima tahun.

Majalah GQ melaporkan, Lovedale mengakui terpaksa menahan kesakitan sepanjang pembedahan dijalankan.

"Pada saya, mereka yang memiliki ketinggian lebih dipandang dan diterima masyarakat," katanya.

Disebabkan perkara itu, lelaki terbabit membuat keputusan untuk menambah ketinggian selepas mengetahui ada hospital yang menawarkan perkhidmatan berkenaan.

Walaupun perlu membayar pinjaman yang dibuat untuk menampung kos pembedahan, namun tiada istilah menyesal dalam diri jurutera itu.

Sebelum pembedahan, Lovedale memiliki ketinggian 173 sm, rendah sedikit daripada ketinggian purata iaitu 175 sm.

Lovedale membuat pinjaman peribadi daripada sebuah bank atas talian SoFi untuk menampung kos pembedahan.

Kos bagi pembedahan menambah ketinggian dianggarkan antara AS$70,000 (kira-kira RM319,000) hingga AS$150,000 (kira-kira RM685,000).

Harga itu perlu dibayar untuk mereka yang mahu menambah ketinggian antara 7.6 sm hingga 15 sm.

Prosedur itu kedengaran menyakitkan kerana doktor akan memecahkan tulang paha pesakit dan memasukkan paku logam boleh laras ke dalamnya.

Ia dipanjangkan sedikit setiap hari selama tiga bulan menggunakan alat kawalan jauh magnetik.

Pembedahan menambah ketinggian kini menjadi pilihan untuk individu tampil lebih yakin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 12:46 PM