HELIKOPTER berkenaan. FOTO Agensi
HELIKOPTER berkenaan. FOTO Agensi
Agensi

Washington: Tindakan lelaki yang cuba mencuri sebuah helikopter berakhir dengan helikopter itu terhempas.

Pencuri itu masuk ke Lapangan Terbang Eksekutif Sacramento, California, antara 4 pagi dan 6 pagi pada Rabu, dan cuba menghidupkan empat helikopter di atas landasan, kata polis.

Portal Metro UK melaporkan, kemudian individu itu berjaya menghidupkan salah satu helikopter dan memandunya, tetapi akhirnya ia terhempas.

Pencuri itu melarikan diri dari tempat kejadian.

Serpihan helikopter itu bertaburan lebih ratusan meter, menurut jurugambar KCRA 3, Domi Domalaog.

Tiada kecederaan direkodkan dalam kejadian itu.

Pesawat yang musnah adalah milik syarikat sewa Capitol Helicopters, yang berpangkalan di Sacramento.

Ia adalah helikopter Bell 407 yang boleh menjalankan pelbagai fungsi termasuk sebagai mekanisme untuk memadam kebakaran, lapor stesen televisyen itu.

Agensi yang menyiasat kejadian itu termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Pentadbiran Penerbangan Persekutuan, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan dan jabatan polis bandar itu.

Memusnahkan pesawat adalah jenayah persekutuan, menurut FBI.

"Siasatan ini di peringkat awal dan maklumat ini adalah awal kerana detektif berusaha untuk mengetahui dengan tepat apa yang berlaku," polis memberitahu The Sacramento Bee.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 3:26 PM