Mohamad Zulhairie Manzaidi


PENCURI sempat minum jus oren di rumah yang dicerobohinya sebelum melarikan motosikal di Kampung Kubang Batang, Tumpat, awal pagi Sabtu lalu.

Ketika kejadian, rumah milik Noraini Rajab, 55, itu tidak berpenghuni kerana dia sedang bercuti di Kedah.

Noraini ketika ditemui berkata, dia dihubungi jirannya pada Sabtu lalu yang memberitahu mengenai kejadian pecah masuk di rumahnya itu.

"Sebaik mengetahui perkara itu, saya bertolak pulang dan tiba di rumah pagi semalam sebelum melihat keadaan rumah berselerak selain pintu di bahagian dapur mempunyai kesan umpil.

"Saya memeriksa kawasan sekitar rumah dan mendapati motosikal Yamaha 135 LC yang diletakkan di dalam rumah lesap," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Noraini berkata, selain motosikal, pencuri juga turut melarikan 20 helai kain batik, dau seterika, almari kecil dan gobek sirih yang diperbuat daripada tembaga.

"Selain meninggalkan barangan yang diselongkar dalam keadaan berselerak, pencuri juga sempat minum jus oren yang berada di dalam peti sejuk sebelum meninggalkannya di atas meja makan.

"Beras juga turut bertaburan, mungkin pencuri mengingatkan saya menyimpan barang kemas di dalam bekas terbabit.

"Pencuri terbabit turut tertinggal sarung tangan yang dipakainya ketika melakukan kegiatan terbabit. Kerugian dianggarkan berjumlah RM15,000," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Mazuki Mat mengesahkan menerima laporan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 7:09 PM