Kereta Jaguar Hargreaves dicuri di rumahnya. FOTO AFP
Kereta Jaguar Hargreaves dicuri di rumahnya. FOTO AFP
Agensi

PENGULAS bolasepak televisyen, Owen Hargreaves menjadi mangsa ‘pencuri peti surat’ yang menggunakan joran pancing untuk mencuri keretanya.

Pencuri terbabit berjaya melarikan kereta itu selepas memancing kunci kereta Jaguar warna hitam berharga £50,000 (RM265,000) milik bekas pemain England dan Manchester United itu.

Sumber memberitahu ia adalah tangkapan terbesar pencuri terbabit di kawasan itu.

“Mereka menggunakan joran dimasukkan menerusi corong peti surat sebelum memancing kunci kereta yang terletak di atas meja di laluan ruang tamu rumahnya.

“Ia mudah seperti menembak ikan di dalam tong.”

Kes kecurian membabitkan Jag itu dipercayai berlaku di rumah Victorian enam bilik bernilai £2.5j (RM13.2 juta) milik Hargreaves di Harpenden, Hertfordshire.

Bagaimanapun, kereta itu ditemui semula sehari selepas kejadian itu di Luton, Bedfordshire, menerusi alat pengesan lokasi terdapat pada kereta itu.

Bekas ketua inspektor Scotland Yard Mick Neville berkata : “Kereta bernilai tinggi seperti itu kerap dicuri kerana terdapat permintaan.

“Ia biasanya dibawa keluar ke Afrika sebelum dijual kepada pegawai kastam yang korup.

“Dalam kes ini, dia bernasib baik kereta Jaguar itu ditemui semula di Luton dan tidak dilupuskan di salah satu negara di benua Afrika”.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 2:13 PM