FOTO USGS
FOTO USGS
AFP

Los Angeles: Gempa bumi bermagnitud 5.9 menggegarkan kawasan sempadan California dan Nevada pada Khamis, mengejutkan penduduk di bandar berhampiran termasuk Sacramento.

Bagaimanapun, setakat ini, tiada laporan mengenai kerosakan atau kemalangan jiwa.

Gempa bumi sederhana di utara California itu dikesan kira-kira 75 kilometer (km) dari Carson City di Nevada, menurut Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Ia disusuli gegaran lebih kecil di beberapa kawasan di kedua-dua negeri pantai barat Amerika Syarikat itu.

"Gempa bumi di Sacramento. Ia kira-kira 20 saat dengan bidai dan lampu bergoyang," tulis wartawan San Francisco Chronicle, Dustin Gardiner, menerusi Twitter.

Bahagian perkhidmatan kecemasan di pejabat Gabenor California berkata, pihaknya dengan aktif memantau situasi berkenaan.

USGS berkata, kebarangkalian kemalangan jiwa atau kerosakan adalah rendah dengan mengambil kira saiz gempa dan lokasinya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 8:42 AM