NAOYA (kanan) ternyata bimbang dengan insiden berkenaan. FOTO EPA
NAOYA (kanan) ternyata bimbang dengan insiden berkenaan. FOTO EPA
AFP

Tokyo: Jaguh tinju Jepun, Naoya Inoue berasa bimbang selepas ada laporan yang menyatakan bahawa rumahnya dipecah masuk pencuri ketika dia sedang sibuk untuk menumbangkan lawannya, Nonito Donaire dalam aksi yang dinanti-nantikan peminat.

Menurut rangkaian televisyen TBS dan Fuji TV, lebih sedozen beg berjenama dan barang kemas dibawa lari dari kediaman juara bantamweight berusia 29 tahun itu berdekatan Tokyo kelmarin.

Bagaimanapun, polis tempatan enggan mengesahkan butiran lanjut mengenai kes itu ketika dihubungi AFP.

Pencuri berkenaan mengambil kesempatan selepas Naoya tidak berada di rumah tatkala dia menumpaskan petinju veteran, Donaire bagi menambah koleksi kejuaraan dunia WBC bantamweight.

Petinju yang tidak pernah dikalahkan itu mengeluarkan kenyataan di Twitter mengenai insiden berkenaan.

"Kisah yang menyedihkan ketika menyambut hari kejayaan...semua orang perlu berhati-hati," katanya.

Kelmarin, dua lelaki dilihat melarikan diri menaiki kenderaan bewarna putih selepas mereka didakwa membuka pintu ke rumah Naoya, kata TBS, sambil menambah bahawa polis masih mengejar kedua-dua suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 7:08 PM