KRISTIN Smart. FOTO Agensi
KRISTIN Smart. FOTO Agensi
PAUL Flores. FOTO AP
PAUL Flores. FOTO AP
Reuters

Los Angeles: Seorang lelaki California dijatuhi hukuman penjara 25 tahun pada Jumaat, kerana membunuh rakan sekelasnya, Kristin Smart pada 1996.

Kejadian yang berlaku lebih suku abad itu dianggap sebagai antara tragedi paling buruk dan jenayah yang sukar diselesaikan di negeri itu.

Hukuman yang dijatuhkan terhadap Paul Flores adalah hukuman maksimum yang dihadapinya kerana sabitan membunuh, kata peguam daerah, San Luis Obispo di Twitter.

Flores, 46, didapati bersalah oleh 12 juri di Mahkamah Tinggi Monterey County pada akhir perbicaraan selama tiga bulan, Oktober lalu.

Flores ditahan dan didakwa atas kematian Smart, pada April 2021.

Smart berusia 19 tahun dilaporkan hilang pada 25 Mei 1996, dari California Polytechnic State University di San Luis Obispo kira-kira 240 kilometer barat laut Los Angeles.

Kali terakhir dilihat pulang ke asramanya daripada pesta luar kampus kira-kira jam 2 pagi.

Pendakwa Raya menuduh Flores membunuhnya ketika merogol atau cubaan merogol.

Mayat Smart tidak pernah ditemui walaupun pasukan siasatan sudah melakukan pencarian di 18 lokasi.

CNN melaporkan bahawa Flores adalah orang terakhir melihat Smart dan pendakwaan berkata lelaki itu membunuh wanita itu di dalam bilik asramanya.

Kehilangan Smart dua dekad lalu menemui jalan buntu dan pihak berkuasa mengisytiharkan Smart meninggal dunia pada 2002.

Sementara itu agensi melaporkan, Flores sudah lama dianggap sebagai suspek dalam pembunuhan itu.

Ketika siasatan sebelum ini dia mempunyai kesan 'mata hitam' apabila penyiasat menemu bualnya.

Dia memberitahu mereka mendapatnya ketika bermain bola keranjang dengan rakan-rakan.

Rakan-rakannya bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Dia kemudian menukar ceritanya dengan mendakwa kepalanya terlanggar ketika membaiki kereta," menurut rekod mahkamah.

Penyiasat menjalankan berpuluh-puluh carian sia-sia untuk mayat Smart selama dua dekad.

Dalam dua tahun lalu, mereka menumpukan perhatian ke rumah Ruben Flores di komuniti Arroyo Grande, kira-kira 12 batu (20 kilometer) di selatan Negeri Politeknik California.

Di bawah dek rumah itu, ahli arkeologi yang bekerja untuk polis pada Mac 2021 menemui kesan darah manusia bagaimanapun sukar untuk mengekstrak sampel DNA.

Penemuan bukti baru membawa kepada penahanan Flores dan bapa lelaki itu Ruben Flores yang didakwa membantu anaknya menyorok mayat Smart.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 12:35 PM