PAUL Flores (kiri) dan Kristin Smart (kanan). FOTO AP
PAUL Flores (kiri) dan Kristin Smart (kanan). FOTO AP
Agensi

Washington: Selepas 28 tahun, akhirnya kematian seorang gadis terbela apabila lelaki terakhir yang dilihat bersamanya disabitkan bersalah membunuh mangsa, baru-baru ini.

Portal Metro UK melaporkan, Paul Flores, rakan kepada mangsa iaitu Kristin Smart di Universiti Politeknik Negeri California, San Luis Obispo, California, itu didapati bersalah atas pembunuhan tahap pertama.

Juri sebulat suara membuat keputusan itu.

Sementara itu, juri berasingan mendapati bapa lelaki itu, Ruben Flores, tidak bersalah kerana membantu menyembunyikan mayat Smart.

Keputusan kedua-dua pertuduhan itu dibacakan hanya selang beberapa minit di Mahkamah Tinggi Kaunti Monterey di Salinas, California, pada 18 Oktober lalu.

Smart dilaporkan hilang dari universiti pada satu hujung minggu 1996.

Sehingga kini jasadnya tidak pernah ditemukan.

Pendakwa raya berkata, Paul yang kini berusia 45 tahun didapati bersalah membunuh Smart yang ketika itu berusia 19 tahun.

Ketika kejadian, lelaki itu cuba merogol mangsa di bilik asrama.

Paul menemani Smart pulang dari parti di luar kampus di mana mangsa mabuk dan memerlukan bantuan berjalan.

Lelaki itu adalah orang terakhir yang dilihat bersama gadis itu.

Ruben yang kini berusia 81 tahun dituduh membantu mengebumikan Smart di belakang rumahnya dan kemudian menggali mayatnya dan memindahkan jasad mangsa.

Pihak berkuasa menamakan Paul sebagai 'suspek utama' pada 2021 dan menahannya pada April tahun sama.

Dia didakwa membunuh semasa rogol atau cubaan merogol mangsa.

Paul berdepan 25 tahun penjara seumur hidup, menurut pendakwa raya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 2:26 PM