LOGO Meta dilihat di Davos, Switzerland. FOTO fail Reuters
LOGO Meta dilihat di Davos, Switzerland. FOTO fail Reuters
AFP

New York: Meta, syarikat pemilik Facebook (FB) dan Instagram akan melancarkan perkhidmatan langganan berbayar bermula AS$11.99 (kira-kira RM53.15) sebulan.

Ia bagi membolehkan pengguna mengesahkan akaun mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mark Zuckerberg pada Ahad mengumumkan langkah itu berikutan kaedah serupa oleh Elon Musk di Twitter.

Meta Verified, yang akan dilancarkan pertama kali di Australia dan New Zealand minggu ini, akan membenarkan pengguna mengesahkan akaun dengan ID kerajaan, mendapatkan lencana biru, perlindungan penyamaran tambahan terhadap akaun palsu dan akses terus kepada pelanggan sokongan.

"Ciri baharu itu bertujuan meningkatkan ketulenan dan keselamatan di seluruh perkhidmatan kami," tulisnya dalam satu hantaran yang dimuat naik di FB.

Menurut syarikat itu, tiada perubahan pada akaun di FB dan IG yang sudah disahkan.

Katanya, hanya pengguna berumur lebih 18 tahun akan dibenarkan melanggan.

Bagaimanapun, perkhidmatan itu belum tersedia untuk perniagaan.

Tidak jelas bagaimana Zuckerberg merancang untuk menetapkan harga Meta Verified di negara yang pengguna tidak mampu membayar AS$12 (kira-kira RM53.19) sebulan, atau dalam ekonomi berasaskan tunai.

Percubaan awal Musk untuk melancarkan perkhidmatan serupa di rangkaian laman sosial saingan Twitter, tahun lalu, dihambat dengan serangan akaun palsu hingga menakutkan pengiklan selain menimbulkan keraguan terhadap masa depan platform itu.

Keadaan itu memaksa Musk menangguhkan seketika usaha itu sebelum melancarkannya semula pada Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2023 @ 11:08 AM