Keluarga dan orang ramai meletakkan bunga dan gambar mangsa sempena memperingati mangsa tembakan di Sekolah Rendah Robb, Texas 2 Jun lalu. FOTO AFP
Keluarga dan orang ramai meletakkan bunga dan gambar mangsa sempena memperingati mangsa tembakan di Sekolah Rendah Robb, Texas 2 Jun lalu. FOTO AFP
Agensi

Uvalde: Kakitangan sekolah dan bapa seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang maut dalam kes tembakan di sekolah rendah di Uvalde, Texas mengemukakan saman terhadap Daniel Defense, pembuat senjata api digunakan dalam serangan itu.

Tragedi seminggu lalu di Sekolah Rendah Robb itu menyaksikan 21 terbunuh termasuk 19 pelajar dan dua guru.

Peguam bagi Alfred Garza, bapa kepada Amerie Jo Garza dalam surat bertarikh semalam, meminta Daniel Defense membekalkan maklumat berhubung konsep pemasarannya kepada remaja dan kanak-kanak.

"Kami meminta anda mula memberikan maklumat kepada kami sekarang berbanding memaksa Garza memfailkan saman bagi mendapatkannya," menurut kandungan surat berkenaan.

Tiada saman difailkan setakat ini terhadap Daniel Defense susulan kes tembakan itu manakala Daniel Defense dari Black Creek, Georgia tidak memberikan komen setakat ini.

Penembak dalam kes di Uvalde, Salvador Ramos, 18, menyerbu sekolah itu pada 24 Mei lalu dan menembak mati 19 pelajar serta dua guru sebelum ditembak mati pihak berkuasa.

Dia membeli senjata api digunakan secara sah pada ulang tahun kelahirannya yang ke-18, pada 17 Mei lalu.

Peguam Garza, Josh Koskoff, mengetuai kes membabitkan tembakan di Sekolah Rendah Sandy Hook di Newtown, Connecticut pada 2012, yang menyaksikan penyelesaian AS$73 (RM321 juta) juta oleh pembuat senjata api, Remington, Februari lalu.

Ia penyelesaian terbesar yang pertama bagi kes mengaitkan serangan tembakan secara besar-besaran dengan pembuat senjata, yang dilindungi undang-undang persekutuan daripada disaman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 7:40 AM