KEKERAPAN insiden keganasan membabitkan penyalahgunaan senjata api secara
KEKERAPAN insiden keganasan membabitkan penyalahgunaan senjata api secara
Syah Rul Aswari Abdullah

Tiada berita yang lebih mengejutkan pada minggu ini apabila penembak remaja lelaki berusia 18 tahun menceroboh masuk sebuah sekolah rendah di Texas, Amerika Syarikat (AS). Suspek, Salvado R Ramos melepaskan tembakan dan menyebabkan 19 murid dan dua guru terkorban.

Dalam insiden di Sekolah Rendah Robb di bandar Uvalde, Texas itu, remaja terbabit mati ditembak oleh pasukan keselamatan yang bergegas ke lokasi.

Kejadian itu dikatakan antara insiden tembakan besar-besaran paling dahsyat di sekolah di negara itu.

AFP yang memetik laporan kumpulan kawalan senjata api, Everytown for Gun Safety, berkata, insiden itu berlaku kurang dua minggu selepas seorang remaja lain, juga berusia 18 tahun membunuh 10 individu berketurunan Afrika-Amerika di sebuah pasar raya di New York.

Dalam kejadian terbaharu ini, antara individu yang paling awal memberikan kenyataan rasmi mengenai insiden berkenaan adalah Gabenor Texas, Greg Abbott. Ini berdasarkan liputan laporan agensi berita antarabangsa seperti AFP dan Reuters.

Menurut Abbott, suspek adalah penduduk tempatan dan warganegara AS. Beliau juga menyifatkan insiden itu sebagai mengerikan dan tidak masuk akal.

Ironinya, insiden itu berlaku di negeri yang dianggap mempunyai undang-undang paling longgar berhubung kawalan senjata api. Abbot pula adalah individu yang memperjuangkan apa yang disifatkannya sebagai undang-udang 'paling ketat' berhubung pembawaan senjata api di AS.

Tindakan Abbot itu meskipun insiden terbaharu di Uvalde itu bukanlah kejadian pertama membabitkan serangan penembak di Texas. Ada dua insiden besar, antara 2018 dan 2020. Ia adalah insiden tembakan besar-besaran di sekolah tinggi Santa Fe dan serangan penembak di pasar raya di El Paso.

Mengambil kira dua insiden berkenaan, Abbot bertindak sebaliknya apabila memperluas hak penggunaan senjata api berbanding mengetatkan peraturan kawalan senjata api.

Abbot juga yang menandatangani undang-undang membenarkan penduduk Texas untuk membawa senjata api tanpa permit. Ini membolehkan penduduk negeri itu membawa senjata api di tempat awam walaupun tanpa memiliki lesen atau mengikuti latihan, sejak 1 September 2021.

Berdasarkan carian penulis di laman web media AS pula, amat mudah untuk memiliki senjata api di Texas. Undang-undang negeri itu menyatakan individu berusia 21 tahun yang boleh memiliki pistol secara sah, tidak perlu memiliki lesen untuk membawanya ke luar kediaman atau kenderaan.

Sebelum undang-undang ini diwartakan, penduduk Texas disyaratkan untuk lulus pemeriksaan latar belakang, kursus keselamatan dan membuktikan mereka boleh menembak sebelum diberikan lesen untuk membawa senjata api di tempat awam. Menurut The Dallas Morning News, lebih daripada 1.6 juta pemilik senjata api berdaftar di Texas.

Selain itu, hampir semua jenis senjata api termasuk untuk jenis yang digunakan tentera boleh dimiliki di Texas. Bagaimanapun, ada beberapa peraturan tertentu berhubung jenis senjata dan had umur. Sebagai contoh, individu mesti berusia 21 tahun untuk membolehkan mereka membeli pistol daripada pengedar berlesen.

Namun, ada beberapa perkara lain yang lebih mengejutkan. Sebagai contoh, seseorang yang berusia 18 tahun dan ke atas boleh membeli raifal. Tiada had umur juga untuk membawa senjata api di bawah undang-undang Texas. Ibu bapa dan penjaga sah pula boleh memberikan kebenaran bertulis supaya individu bawah umur itu dapat menerima senjata api sebagai hadiah.

Sebaliknya, di peringkat persekutuan, undang-undang menyatakan individu di bawah usia 18 tahun tidak boleh memiliki pistol selain ketika berburu atau dalam situasi yang memerlukan mereka mempertahankan diri.

Undang-undang senjata api di Texas ini dikatakan untuk mengawal pembawaan senjata api berbanding dengan usaha mengehadkan pemilikan senjata api. Ia untuk 'melindungi hak setiap penduduknya untuk memiliki dan mempertahankan diri atau negeri.'

Susulan insiden terbaharu di Texas ini, semua pihak kembali membangkitkan usaha untuk mengetatkan undang-undang kawalan senjata api. Ia sekali gus memberi tekanan kepada ahli politik negara itu untuk mengambil tindakan tegas terhadap kawalan senjata api.

Namun, jika dinilai tindakan susulan insiden seumpamanya sebelum ini, ramai yang skeptikal akan ada langkah konkrit bagi mengatasi isu ini. Apa tidaknya - menurut AFP, amat mudah untuk mendapatkan senjata api di AS. Buktinya, senjata api pelbagai jenis termasuk raifal dan pistol semiautomatik adalah lebih murah dan mudah didapati di seluruh negara.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 7:00 AM