AFP

Houston: Remaja lelaki bersenjata yang disyaki menjadi dalang insiden tembakan dan pembunuhan kanak-kanak serta guru di Texas, berkongsi rancangannya untuk menyerang sebuah sekolah di Facebook (FB) kira-kira 15 minit sebelum melepaskan tembakan, kata Gabenor Texas, Greg Abbott pada Rabu.

Menurut Abbott, suspek dipercayai menggunakan senjata jenis senapang AR-15.

Menerusi sidang media, Abbott turut memberitahu bahawa lelaki bersenjata itu menembak muka neneknya, sebelum menuju ke sekolah rendah dan menembak mati 19 kanak-kanak dan dua guru.

"Dalam hantaran pertama, dia menulis 'Saya akan menembak nenek saya'.

"Hantaran kedua adalah 'Saya tembak nenek saya' dan ketiga, mungkin kurang 15 minit sebelum tiba di sekolah: 'Saya akan menembak sekolah rendah'," katanya.

FB dengan pantas mengeluarkan kenyataan selepas komen Abbott, mengatakan siaran itu "adalah mesej teks peribadi satu sama satu yang ditemukan selepas insiden dahsyat itu berlaku".

"Kami bekerjasama rapat dengan penguatkuasaan undang-undang dalam siasatan berterusan mereka," kata Andy Stone, jurucakap syarikat induk Facebook, Meta.

Abbott memberikan butiran asas mengenai serangan hari Selasa.

"Perkara pertama yang berlaku adalah lelaki bersenjata itu menembak muka neneknya.

"Dia kemudian menghubungi polis. Lelaki bersenjata itu melarikan diri namun terbabit dalam kemalangan di luar sekolah rendah, kemudian masuk ke dalam sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 10:29 AM
ORANG ramai ketika menyertai perhimpunan komuniti di Uvadle County Fairplex, susulan kejadian tembakan di Sekolah Rendah Robb di  Uvalde, Texas. FOTO EPA
ORANG ramai ketika menyertai perhimpunan komuniti di Uvadle County Fairplex, susulan kejadian tembakan di Sekolah Rendah Robb di Uvalde, Texas. FOTO EPA