FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

New Orleans: Akibat ibunya leka menghisap ganja, seorang kanak-kanak di Louisiana maut kerana secara tidak sengaja tertembak kepalanya menggunakan pistol bapanya.

Memetik portal Independent, Jarion Walker mengalami luka tembakan di kepala maut ketika berada dalam kenderaan di blok 900 Stillwell Lane di Westego, Louisiana, jam 10.45 malam, Sabtu lalu.

Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun itu dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaannya.

Pejabat Syerif Jefferson Parish, Joseph Lopinto mengesahkan bedah siasat dan bukti kecederaan menunjukkan tembakan itu dilakukan kanak-kanak itu sendiri.

Katanya, kanak-kanak itu bersama dua adiknya diletakkan di tempat duduk belakang apabila dia dipercayai menemui pistol bapanya di bawah tempat duduk sebelum mengambilnya dan menembak dahinya.

Dilaporkan, ketika kejadian, ibunya dan seorang lagi individu dewasa mengaku mereka menghisap ganja di tempat duduk hadapan kereta dan tidak melihat apa yang dilakukan tiga kanak-kanak itu.

Pada mulanya, penyiasat meneliti kemungkinan salah seorang daripada orang dewasa atau adik-beradik Jarion berusia 22 bulan dan setahun, menarik picu pistol itu selepas melihat luka tembakan kelihatan di belakang kepalanya.

Bagaimanapun, Koroner Paroki Jefferson Gerry Cvitanovich mendapati kecederaan itu adalah luka pada dahi iaitu di atas kening kanan mangsa.

Lopinto berkata, tiada tangkapan dilakukan kerana keadaan tidak sesuai berikutan keluarga masih bersedih dengan kematian mangsa.

Katanya, kematian itu sepatutnya dapat dielakkan serta menggesa pemilik senjata api supaya tidak meninggalkan senjata api di dalam kenderaan mereka atau di tempat yang boleh dicapai kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Februari 2022 @ 7:05 AM