KANAK-KANAK menghisap ganja. FOTO Agensi
KANAK-KANAK menghisap ganja. FOTO Agensi
Agensi

Bangkok: Aksi sekumpulan kanak-kanak Thailand yang dipercayai menghisap ganja di sebuah pantai di Thailand mencetuskan kebimbangan ramai.

Gambar kanak-kanak berusia lingkungan sembilan dan 10 tahun itu tular dan dipercayai dirakam di Pantai Pattaya, wilayah Chon Buri, timur Thailand.

Lelaki yang menyiarkan gambar itu, Krittiwat Matrong, 35, berkata, dia terserempak dengan kanak-kanak itu ketika dalam perjalanan menonton pertunjukan bunga api di Pattaya.

Katanya, ketika menaiki bot dia ternampak kanak-kanak sedang duduk di pantai sambil menghisap ganja menggunakan buluh.

"Pada mulanya, saya menyangka kanak-kanak itu hanya bermain, tetapi apabila saya mendekati mereka, baru saya tahu kanak-kanak itu sedang menghisap ganja.

"Apabila saya bertanya di mana ibu bapa mereka, mereka memberitahu tidak mempunyai ibu bapa," katanya dalam portal Thethaiger.

Krittiwat berkata, apabila dia mula memberi amaran supaya jangan hisap ganja kerana masih di bawah umur, seorang kanak-kanak menjawab secara agresif bahawa dia tidak takut dengan amaran itu kerana "bapanya seorang tentera".

Untuk rekod, Thailand menyah senarai ganja sebagai narkotik terlarang pada Jun untuk membolehkan orang ramai menggunakan khasiat perubatan tumbuhan itu.

Namun, tanpa banyak perancangan awal, sedikit atau tiada undang-undang untuk mengawal penggunaan ganja atau untuk melindungi kanak-kanak kecil daripada menggunakan ganja dilaksanakan.

Satu peraturan yang jelas ialah ganja tidak boleh dijual atau digunakan oleh sesiapa yang berumur di bawah 20 tahun.

Bagaimanapun, apabila ganja begitu mudah diakses sehingga boleh dibeli daripada van dan peniaga jalanan, tidak hairanlah kumpulan kanak-kanak sekolah rendah dalam gambar itu mudah mendapatkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 12:57 PM