SEORANG anggota bomba (kanan) menayangkan kartun pada telefon bimbitnya untuk menenangkan kanak-kanak itu. - Agensi
SEORANG anggota bomba (kanan) menayangkan kartun pada telefon bimbitnya untuk menenangkan kanak-kanak itu. - Agensi
Agensi

Beijing: Kerana bosan, seorang budak lelaki berusia tiga tahun terperangkap dalam tempat duduk tandas sehingga terpaksa mendapatkan bantuan bomba untuk melepaskan kepalanya yang tersangkut.

Menerusi rakaman video yang tersebar, kanak-kanak itu dari Nanjing, wilayah Jiangsu, kelihatan menangis ketika bomba cuba memotong sebahagian objek sambil berulang kali menyebut ‘Saya mahu pulang’ manakala anggota berusaha menenangkannya.

Datuk dan nenek kanak-kanak itu membawanya ke Balai Bomba Gulou dengan tempat duduk diperbuat daripada plastik itu melekat mengelilingi lehernya.

Menurut neneknya, budak itu suka bergurau dan ketika kejadian dibiarkan bermain berseorangan menyebabkannya bosan.

Kejadian itu cuma disedari selepas kanak-kanak berkenaan mula menangis apabila gagal melepaskan kepalanya dari tempat duduk itu.

Pada mulanya, bomba menggunakan playar hidraulik untuk memotong tempat duduk berkenaan, namun bimbang ia mencederakan kanak-kanak terbabit.

Mereka kemudian memilih kaedah lebih selamat untuk memotong iaitu menggunakan pemateri yang diletakkan pada plastik berkenaan selama beberapa minit sehingga berjaya melepaskan mangsa.

Usaha itu akhirnya berjaya malah pada hujung video itu, seorang anggota bomba dilihat mengalih perhatian kanak-kanak itu dengan memberinya menonton rancangan kartun pada telefon bimbit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 5:51 AM