TEMPAT kejadian kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut selepas ditembak oleh adik lelakinya.
TEMPAT kejadian kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut selepas ditembak oleh adik lelakinya.
Agensi

Washington: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut secara tragis selepas ditembak oleh adik lelakinya berusia lima tahun di sebuah rumah di Arkansas di Amerika Syarikat.

Mirror UK melaporkan polis daerah Jefferson bergegas ke tempat kejadian di Shannon Valley Road, Pine Bluff, selepas menerima laporan tembakan membabitkan seorang kanak-kanak kira-kira 2 petang, Jumaat lalu.

Mereka menemui seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang ditembak dan tidak memberikan tindak balas di rumah itu.

Koroner Daerah Jefferson mengeluarkan kenyataan mengatakan kanak-kanak lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Polis percaya kematian itu tidak disengajakan.

"Ini adalah insiden tragis yang boleh dielakkan," kata Sheriff Lafayette Woods Jr dalam satu kenyataan.

"Senjata api perlu disimpan dengan baik dan dijauhkan dari tangan kanak-kanak pada setiap masa," katanya.

Saluran berita Arkansas THV11 melaporkan, ibu kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun itu dan empat adik-beradik mangsa yang lain berada di rumah, pada masa kejadian.

Dilaporkan ibu mangsa mungkin sedang tidur ketika kejadian dan mendengar bunyi tembakan sebelum menemui kanak-kanak berusia lapan tahun terbaring di atas lantai.

Pekerja dari agensi perkhidmatan sosial pergi untuk memeriksa kesejahteraan kanak-kanak yang tinggal di rumah dan keadaan hidup mereka.

Statistik menunjukkan terdapat 126 tembakan yang tidak disengajakan oleh kanak-kanak di AS tahun ini dengan 55 orang kehilangan nyawa dan 78 lagi cedera, menurut organisasi, Everytown for Gun Safety, lapor CNN.

Tahun lalu menyaksikan sekurang-kurangnya 392 tembakan yang tidak disengajakan oleh kanak-kanak yang mengakibatkan 163 orang terbunuh dan 248 cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 6:15 AM