KHALID Sheikh Mohammed. FOTO AFP
KHALID Sheikh Mohammed. FOTO AFP
Agensi

Teluk Guantanamo: Pendakwaan terhadap perancang utama serangan 11 September, Khalid Sheikh Mohammed dan empat yang lain disambung semula pada Selasa, beberapa hari sebelum ulang tahun ke-20 serangan itu.

Pendakwaan itu memberikan harapan baharu buat keluarga mangsa yang terbunuh untuk keadilan dan pembalasan.

Mohammed dan rakannya dikurung di penjara War on Terror di pangkalan tentera laut Amerika Syarikat (AS) di Teluk Guantanamo, Cuba, selama hampir 15 tahun, akan tampil di pengadilan tentera untuk pertama kalinya sejak awal 2019.

Prosiding terpaksa dihentikan selama 17 bulan akibat koronavirus dan akan diteruskan untuk membela mangsa yang terkorban dalam serangan 11 September itu.

Bagaimanapun, pihak pembelaan cuba menggugurkan bukti daripada kerajaan selepas penyeksaan yang dilakukan terhadap suspek sepanjang dalam tahanan Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Pada Ahad, hakim tentera yang baru, Kolonel Tentera Udara Matthew McCall memutuskan perbicaraan awal yang berfokus pada kelayakan dirinya sebagai hakim akan berlangsung pada Selasa.

Peguam untuk kedua-dua pihak dibenarkan mengemukakan soalan terhadapnya di mahkamah jenayah perang untuk melihat kemungkinan terdapat faktor berat sebelah.

Selebihnya minggu ini, kebanyakannya membabitkan pertemuan dengan pendakwa tentera dan pasukan pertahanan.

Dengan banyak usul yang disusun untuk menuntut bukti yang dikatakan enggan diserahkan oleh pendakwa tentera, peguam bela mengatakan fasa praperbicaraan dijangka berlarutan sehingga setahun lagi.

Peguam mengatakan kelima-lima defendan iaitu Mohammed, Ammar al-Baluchi, Walid Attash, Ramzi al-Shibh dan Mustafa al-Hawsawi kini dalam keadaan lemah dan mengalami kesan penyeksaan yang teruk dilakukan CIA.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 6:45 AM