PENGAWAL tentera di luar penjara Guayas 1 selepas pertempuran antara kumpulan menyebabkan enam banduan maut di Guayaquil, Ecuador. FOTO AFP
PENGAWAL tentera di luar penjara Guayas 1 selepas pertempuran antara kumpulan menyebabkan enam banduan maut di Guayaquil, Ecuador. FOTO AFP
AFP

Quito: Kira-kira 90 pegawai penjara dijadikan tebusan dalam mogok lapar dilancarkan banduan di 13 penjara di Ecuador, semalam.

"Setakat ini, kira-kira 90 pengawal keselamatan penjara dilaporkan ditahan di kemudahan di lima wilayah.

"Keadaan masih terkawal. Insiden ini berlaku apabila banduan di 13 penjara di seluruh negara melancarkan mogok lapar," katanya menerusi WhatsApp.

Pihak berkuasa SNAI berkata, mogok itu susulan rusuhan di penjara Guayas 1 di bandar pelabuhan Guayaquil, yang meragut enam nyawa.

Keganasan di penjara berkenaan turut menyebabkan 11 lagi cedera dalam pertempuran antara kumpulan.

Pembunuhan beramai-ramai yang menampilkan tahap keganasan ekstrem seperti penggal kepala adalah perkara biasa dalam rangkaian penjara Ecuador yang sesak.

Pihak berkuasa berkata, belasan insiden rusuhan kumpulan dadah meragut sekurang-kurangnya 420 nyawa di penjara dilaporkan di negara itu, sejak 2021.

Malah, ada beberapa mangsa dibakar hidup-hidup.

Rusuhan itu berlaku di penjara yang menempatkan kumpulan yang mempunyai kaitan dengan pengedar dadah terhadap satu sama lain di negara yang muncul sebagai pengeluar utama dalam perdagangan kokain Amerika Selatan.

Guayaquil, di pantai Pasifik selatan Ecuador, adalah bandar terbesar, pelabuhan terbesar dan hab ekonomi negara itu, tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini menjadi pusat yang 'semakin berdarah' dalam perang kumpulan kongsi gelap.

Lokasi bandar yang menempatkan tiga juta daripada 18 juta penduduk Ecuador itu, menjadikannya tempat pelancaran strategik untuk penghantaran dadah ke Amerika Syarikat dan Eropah.

Terletak di antara Colombia dan Peru, pengeluar kokain utama dunia, Ecuador merampas 455 tan dadah sejak Presiden Guillermo Lasso memegang jawatan pada Mei 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 10:09 AM