AFP

Guayaquil, Ecuador: Pergaduhan antara kumpulan banduan dalam penjara di Guayaquil, bandar terbesar di Ecudor menyebabkan 68 terbunuh.

Penjara yang sama di mana rusuhan berlaku pada September lalu dan turut meragut 119 nyawa.

Gabenor wilayah Guayas, Pablo Arosemena, berkata rusuhan berhampiran pintu pagar penjara bermula jam 7 pagi itu, menyaksikan kumpulan banduan bergaduh menggunakan senjata api, bahan letupan dan parang.

Katanya, berlaku pertempuran senjata yang sengit apabila banduan cuba memasuki Blok 2 penjara di mana 'musuh' mereka mereka ditempatkan.

"Mereka melepaskan tembakan, meletupkan bahan letupan dan menghayun parang. Campur tangan cepat daripada polis membantu menyelamatkan nyawa," katanya.

Kejadian itu menyebabkan 68 banduan maut manakala 25 lagi cedera, berdasarkan kenyataan Pejabat Pendakwaan Ecuador.

Pihak berkuasa berkata polis mengambil masa berjam-jam untuk campur tangan kerana keganasan di dalam penjara yang dasyat dan berbahaya kepada pegawai mereka.

Salah satu kumpulan di dalam penjara, Tiguerones, ditinggalkan tanpa ketua mereka kerana dia dibebaskan selepas menjalani sebahagian daripada hukumannya kerana mencuri alat ganti kereta.

Kumpulan lain merasakan kelemahan dalam Tiguerones apabila ketua mereka dibebaskan, menyerang untuk cuba menumpaskan kumpulan itu, kata Arosemena.

Dia berkata matlamat mereka adalah "untuk masuk dan melakukan pembunuhan beramai-ramai."

Pada hari Sabtu, anggota polis dilihat memanjat dinding penjara yang berlumuran darah, manakala mayat seorang banduan yang memakai baju penjara berwarna jingga terbaring di atas bumbung penjara yang dikelilingi kawat berduri.

ANGGOTA tentera mengawal ketat penjara. FOTO AFP
ANGGOTA tentera mengawal ketat penjara. FOTO AFP

Lebih 300 banduan terbunuh tahun ini dalam sistem tahanan jenayah Ecuador, di mana beribu-ribu banduan yang terikat dengan kumpulan dadah bergaduh secara ganas yang sering bertukar menjadi rusuhan.

Pergolakan pada September lalu adalah salah satu pembunuhan beramai-ramai dalam penjara paling teruk dalam sejarah Amerika Latin, dan keganasan maut terbaharu di Guayaquil hanya mengesahkan keadaan penjara Ecuador yang teruk.

Kumpulan dadah sering melancarkan pertelingkahan berdarah di penjara Guayas 1 di Guayaquil, sebuah penjara yang direka untuk memuatkan 5,300 banduan namun ia menempatkan 8,500 banduan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 12:08 PM
ANGGOTA tentera mengawal ketat penjara. FOTO AFP
ANGGOTA tentera mengawal ketat penjara. FOTO AFP
POLIS mengalihkan mayat banduan di bumbung penjara di Guayaquil, Ecuador, hari ini. FOTO AFP
POLIS mengalihkan mayat banduan di bumbung penjara di Guayaquil, Ecuador, hari ini. FOTO AFP