Regional Sierra Centro Norte Cotopaxi Prison. FOTO AFP
Regional Sierra Centro Norte Cotopaxi Prison. FOTO AFP
AFP

Quito: Sekurang-kurangnya 15 banduan terbunuh dalam rusuhan di penjara Ecuador, semalam.

Pegawai berkata, rusuhan terbaru itu bagi menyerang menyerang sistem penjara bermasalah di negara itu.

Agensi yang menguruskan penjara Ecuador, SNAI mengesahkan, rusuhan itu mengorbankan 15 nyawa dan mencederakan 21 banduan lain.

SNAI sebelum ini mengumumkan, unit taktikal sedang mengawal keadaan di kemudahan itu yang terletak di bandar Latacunga di selatan negara ini.

Penjara itu yang menempatkan kira-kira 4,300 banduan adalah salah satu yang terbesar di negara ini.

Ia dikaitkan dengan pengedaran dadah yang menyebabkan lebih 400 banduan terkorban sejak Februari 2021.

Pihak berkuasa tidak dapat menghalang keganasan kejam yang sering dilakukan menggunakan pisau dan membabitkan aksi penggal kepala.

Menurut anggaran rasmi, penjara yang sesak di negara ini mengandungi kira-kira 35,000 banduan, kebanyakannya ahli kumpulan yang dikaitkan dengan pengedaran dadah.

Bersempadan pengeluar kokain terbesar di dunia, Colombia dan Peru, Ecuador berfungsi sebagai pelabuhan untuk penghantaran dadah terutama ke Amerika Syarikat dan Eropah.

Pada 2021, Ecuador merampas 210 tan dadah yang kebanyakannya kokain.

Tahun lalu, negara dengan 17.7 juta populasi itu mempunyai kadar pembunuhan 14 bagi setiap 100,000 orang iaitu hampir dua kali ganda berbanding rekod pada 2020.

Dalam usaha untuk memperbaiki keadaan di penjara Ecuador, Presiden Guillermo Lasso melancarkan bancian banduan pertama di negara itu pada Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 1:46 PM