Anggota tentera dan polis menjalankan operasi keselamatan di Esmeraldas, Ecuador. Penculik menggunakan taktik baharu untuk memeras keluarga mangsa termasuk memotong jari dan telinga atau memasang tali pinggang bom kepada mangsa. - FOTO AFP
Anggota tentera dan polis menjalankan operasi keselamatan di Esmeraldas, Ecuador. Penculik menggunakan taktik baharu untuk memeras keluarga mangsa termasuk memotong jari dan telinga atau memasang tali pinggang bom kepada mangsa. - FOTO AFP
AFP

Guayaquil, Ecuador: Jenayah telah berubah menjadi sadis di Ecuador, di mana penculik kini kerap memotong jari mangsa mereka dan menghantar imej untuk menekan saudara-mara membayar wang tebusan yang lebih tinggi.

Selama beberapa dekad, Ecuador adalah tempat perlindungan keamanan yang tersepit di kawasan berbahaya. Tetapi hari ini, ia semakin menyerupai Peru dan Colombia yang berdekatan, dua pengeluar besar kokain dengan sejarah jenayah yang ganas.

Pada Mac, isteri seorang ahli perniagaan di bandar pelabuhan Guayaquil menerima imej seseorang memotong dua jari dari tangan kiri suaminya, mengancam untuk mencacatkannya lagi melainkan mereka dibayar $100,000.

Pada penghujung tahun 2022, polis mengeluarkan gambar seorang anggota tentera laut Chile yang telah dipotong dua jari ketika diculik semasa dia berada di negara itu melawat teman wanita.

Media sosial kecoh seketika pada April apabila x-ray tangan tanpa jari tersebar.

Imej itu adalah milik seorang pendatang Ecuador ke Amerika Syarikat yang terperangkap dalam penculikan semasa bercuti.

Bagi lima bulan pertama tahun ini, laporan penculikan meningkat tiga kali ganda kepada 189 kes berbanding tempoh sama pada 2022, apabila 60 kes direkodkan.

Bagaimanapun, jumlah itu dipercayai masih kurang berbanding angka sebenar dilaporkan.

Sesetengah penculik meminta bayaran cepat, menuntut wang tebusan serendah $5,000.

Pakar Luis Cordova memberitahu AFP kempen serangan yang "menakutkan" memberi tekanan kepada kerajaan yang terperangkap dalam krisis keselamatan awam.

Pelabuhan Guayaquil, dengan kira-kira tiga juta penduduk, telah menjadi sarang keganasan, dengan bom kereta, pembunuhan beramai-ramai di penjara, mayat yang dicacatkan tergantung di jambatan dan penculikan.

Walaupun diseksa, majoriti mangsa penculikan terselamat, kata Oscar Salguero, ketua wilayah unit antipenculikan polis.

Mereka yang ditahan untuk wang tebusan selalunya disimpan di dalam bilik air, dengan tangan terikat dan sentiasa ketakutan, ketika kumpulan jenayah berunding dengan orang yang mereka sayangi.

Pada masa sama, pemerasan terhadap usahawan semakin meningkat. Kira-kira 2,700 aduan sedemikian telah didaftarkan tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 5:08 PM