ASRI menunjukkan ikan yang mati akibat pencemaran Sungai Meru yang dipercayai kecuaian daripada pekerja kilang Kawasan Perindustrian Taman Meru, Ipoh . FOTO Sharul Hafiz Zam
ASRI menunjukkan ikan yang mati akibat pencemaran Sungai Meru yang dipercayai kecuaian daripada pekerja kilang Kawasan Perindustrian Taman Meru, Ipoh . FOTO Sharul Hafiz Zam
Balqis Jazimah Zahari


“SAYA bernasib baik kerana kebetulan terserempak dengan kejadian itu sebelum rakam video dan viralkan agar ia (kejadian) tidak berterusan,” kata Asri Hamid, 41.

Asri yang juga penduduk tempatan mendakwa pencemaran sungai di Meru, Ipoh sudah berlarutan sekian lama sejak 20 tahun lalu.

Menurutnya, pencemaran teruk itu berlaku sekurang-kurangnya dua kali setahun sehingga mengakibatkan hidupan sungai mati.

“Saya duduk kawasan sungai ini sudah 25 tahun. Saya dengan abang memang mencari rezeki (menangkap) ikan untuk dijual atau untuk makan, begitu juga penduduk lain, sungai) inilah tempat mereka mencari ikan.

“Jadi, kami memang maklum kalau berlaku (pencemaran sungai), kami (sudah) tahu tiada kilang lain lagi dah, cuma sebelum ini tiada rezeki untuk viralkan perkara ini,” katanya ketika ditemui di sungai berkenaan di Ipoh, hari ini.

Mengulas mengenai rakamannya yang kemudiannya menjadi viral, Asri berkata, dia bernasib baik kerana kebetulan terserempak dengan pencemaran itu.

“Kebetulan nak jadi semalam dan kami terjumpa, sebelum itu saya datang jam 6 petang tidak berlaku apa-apa. Saya balik ke rumah sekejap dan apabila kembali semula pada jam 6.40 sudah habis putih sungai ini.

“Saya rasa kalau tuan (anda) datang semalam, mungkin menangis tengok ikan ini..sayang semua ikan, sedih sangat-sangat,” katanya.

Menurutnya, dia mendakwa pihak kilang biasanya melepaskan air daripada kilang berkenaan pada sekitar waktu malam.

“Kali ini masih ada ikan yang hidup kerana kalau kejadian sebelum ini lagi teruk, saya harap pihak kilang berkenaan insaf,” katanya.

Terdahulu, pengurusan kilang yang memproses sarung tangan getah di Kawasan Perindustrian Taman Meru di Ipoh, mendakwa pencemaran yang berlaku berpunca daripada kecuaian pekerjanya.

EXCO Perak yang memangku portfolio Alam Sekitar, Mohd Akmal Kamarudin yang mendedahkan perkara itu berkata, susulan daripada viral pihaknya membuat siasatan di kilang berkenaan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak.

“Menurut laporan awal yang kita terima, apa yang kita lihat di sungai berkenaan pencemaran itu sebenarnya bukanlah daripada sisa buangan daripada kilang tetapi adalah bahan mentah getah.

“Ia berpunca daripada sedikit kelalaian atau kecuaian daripada dua pekerja kilang itu. Ketika proses menurunkan bahan mentah itu daripada lori ke tangki kilang, pekerja terbabit terlupa menutup injap dan mengakibatkan tumpahan bahan mentah berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas membuat pemantauan di kilang berkenaan.

Berita berkaitan

Sungai tercemar kecuaian dua pekerja kilang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 8:32 PM