Ratusan ikan yang mati di Sungai Tonggak. FOTO Farizul Hafiz Awang.
Ratusan ikan yang mati di Sungai Tonggak. FOTO Farizul Hafiz Awang.
Oleh Khairulmizan Yahya

Kuantan: Selepas Sungai Balok, di sini, bertukar merah dipercayai akibat pencemaran bauksit minggu lalu, penduduk di kawasan itu sekali lagi gempar apabila ratusan ikan ditemui mati di Sungai Tonggak yang bersambung ke sungai berkenaan, hari ini.

Situasi itu menimbulkan kegusaran dan persoalan dalam kalangan penduduk sama ada kejadian itu ada kaitan dengan fenomena 'laut merah' atau disebabkan pencemaran sisa kilang dari Kawasan Perindustrian Gebeng, di sini.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Balok Makmur Abdul Rahman Ali berkata, kejadian itu disedari beberapa penduduk setempat kira-kira 7.30 pagi ketika air surut dan mereka terkejut melihat ratusan ikan belanak terdampar di tengah sungai berkenaan.

"Memang sungai ini keruh dan merah pada hari sebelumnya tetapi sepanjang pengetahuan saya tiada 'stockpile' (tempat penyimpanan) bauksit di sepanjang sungai ini dan kemungkinan kekotoran pada jalan mengalir ke sungai ketika hujan.

"Saya tidak mahu menuduh mana-mana pihak tetapi tidak mustahil juga ia disebabkan pencemaran sisa kimia dari kilang di sekitar kawasan Gebeng," katanya. Sementara itu, Pengarah Perikanan Pahang Adnan Hussain berkata, pihaknya ada menerima aduan daripada orang awam berhubung kejadian itu dan pegawainya sudah ke lokasi kejadian untuk membuat siasatan.

"Pemerhatian awal mendapati memang ada sejumlah ikan belanak yang mati di sungai berkenaan seperti dilaporkan namun jumlahnya adalah kecil dan kemungkinan sebahagian ikan terbabit sudah dihanyutkan air ketika pegawai kami tiba di lokasi.

"Siasatan awal mengesahkan kejadian ini tiada kena mengena dengan kelodak, lumpur dan sebagainya namun siasatan masih dijalankan dan laporan penuh mengenainya hanya dapat disiapkan dalam tempoh seminggu lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 6:37 PM