PASUKAN mencari dan menyelamat membawa keluar mayat mangsa pesawat terhempas dari helikopter yang tiba di lapangan terbang Wamena di Papua semalam. - Agensi
PASUKAN mencari dan menyelamat membawa keluar mayat mangsa pesawat terhempas dari helikopter yang tiba di lapangan terbang Wamena di Papua semalam. - Agensi

Jakarta: Lima mangsa ditemui mati semalam selepas kapal terbang kecil yang dinaiki mereka terhempas di wilayah Papua, kata pegawai.

Pesawat itu terputus hubungan tengah hari kelmarin, kira-kira lapan minit selepas berlepas dari bandar Wamena di timur Papua.

Kapal terbang jenis Pilatus Porter PC-6 itu dalam penerbangan menuju ke wilayah Nduga.

Pihak berkuasa memberitahu, rangka pesawat ditemui di kawasan pergunungan kira-kira 14 kilometer dari lapangan terbang Wamena.

Tiada mangsa yang terselamat dalam nahas berkenaan.

Pesawat itu dilaporkan membawa tiga penumpang dan dua kru termasuk seorang juruterbang warga Belanda.

Empat lagi mangsa warga Indonesia.

Operasi mencari dan menyelamat bermula awal pagi semalam dan semua mayat mangsa berjaya dibawa keluar dari lokasi nahas.

“Cabaran utama adalah rangka pesawat itu berada di lereng gunung dan pasukan penyelamat terpaksa menggunakan helikopter untuk membawa naik mayat,” kata pengarah lapangan terbang Wamena, Rasburhani. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2017 @ 10:53 AM