KANYE WEST. FOTO AGENSI
KANYE WEST. FOTO AGENSI
BERNAMA

PENYANYI rap popular Amerika Syarikat (AS), Kanye West mengakui kekalahannya dalam pilihan raya presiden negara itu dan mengumumkan kemungkinan penyertaannya dalam pilihan raya berikutnya pada tahun 2024, lapor Sputnik.

West, yang pada awal tahun ini didiagnos dengan gangguan bipolar, mengumumkan untuk bertanding bagi jawatan presiden pada Hari Kemerdekaan pada 4 Julai lalu.

Semalam, West mengatakan bahawa dia memilih seseorang yang dia "benar-benar percaya," yang bermaksud dirinya sendiri.

"KANYE 2024," tulisnya di Twitter, sementara sebelum ini dia menandakan beberapa penerbitannya mengenai hasratnya untuk menjadi calon dalam pemilihan presiden dengan tulisan "KANYE 2020."

Pengiraan undi masih dilakukan di AS, di mana warga AS pada Selasa memilih presiden baharu serta anggota Dewan Perwakilan, sekitar satu pertiga anggota Senat, gabenor 11 negeri dan dua wilayah, dan pihak berkuasa perundangan tempatan di beberapa negeri.

Calon Demokrat Joe Biden mendahului dengan 238 undi pilihan raya berbanding 213 undi untuk calon Republikan serta Presiden ketika ini, Donald Trump.

Sementara itu, lebih daripada 60,000 individu di 12 negeri memilih West, lapor Fox News.

Di setiap negeri ini, West mendapat kurang dari 1.0 peratus undi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 9:47 PM