Kasturi (kanan) memerhatikan dua anaknya belajar di  televisyen yang dibeli hasil gadaian rantai perkahwinan.
Kasturi (kanan) memerhatikan dua anaknya belajar di televisyen yang dibeli hasil gadaian rantai perkahwinan.
Agensi

Bangalore: Seorang ibu di negeri selatan India sanggup menggadaikan rantai perkahwinan demi memastikan anaknya tidak ketinggalan dalam pelajaran.

The Times of India melaporkan wanita itu dari kampung Radder Naganur menggadaikan rantai terbabit untuk membeli set televisyen bagi membolehkan anaknya mendapat akses pembelajaran atas talian.

Kasturi Chalwadi berkata, dia mengambil tindakan itu selepas dua anaknya ketinggalan dalam pelajaran.

"Anak saya sukar hadir ke kelas tanpa televisyen. Mereka pergi ke rumah jiran untuk menonton pelajaran, tetapi tidak dapat berbuat demikian setiap masa.

"Selepas siaran kelas di saluran Chandana, guru menghubungi anak dan memberikan soalan dari beberapa tajuk untuk menilai pemahaman mereka," katanya.

Katanya, dia memperoleh 20,000 rupee (kira-kira RM1,132) hasil gadaian rantai perkahwinan dari seorang broker sebelum membeli televisyen 32 inci berharga 16,000 rupee.

"Suami saya Muttappa bekerja dengan gaji harian dan saya juga selalu membantunya memenuhi keperluan kami.

"Saya tiada pilihan kerana perintah berkurung menyebabkan kami mengalami krisis kewangan," katanya.

Kisah pengorbanan wanita itu tular dan meraih perhatian pelbagai pihak tampil menyumbang kepada keluarga berkenaan.

Malah, broker gadaian barangan kemas turut memulangkan semula rantai wanita itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 7:30 AM