Nur Nadia Misran manfaat PKPD di Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa, untuk membantu anaknya mengulangkaji pelajaran. FOTO MOHD ROJI KAWI
Nur Nadia Misran manfaat PKPD di Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa, untuk membantu anaknya mengulangkaji pelajaran. FOTO MOHD ROJI KAWI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Arahan duduk di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di Kampung Sinar Budi Baru, di Batu Kawa, di sini, digunakan sepenuhnya seorang ibu untuk meluangkan masa berkualiti bersama anak-anaknya.

Pekerja swasta, Nur Nadia Misran, 31, berkata dia menggunakan kesempatan 'berkurung' di rumah itu untuk mengajar anaknya, Nur Hasya Humaira Nur Hafiz Syafiq, 9, mengulangkaji pelajaran.

Menurutnya, inilah masa terbaik untuk memberi perhatian terhadap pelajaran anak-anak kerana sebelum ini kebanyakan masa beliau agak sibuk dengan tugas seharian.

"Masa yang terluang ini memberi lebih ruang untuk bersama anak-anak. Saya isi untuk membantu anak mengulang kaji pelajaran.

"Tambahan pula sudah lama anak tidak ke sekolah dan dia memerlukan lebih banyak bimbingan dalam pelajarannya," katanya.

Selain membantu Nur Hasya Humaira mengulang kaji pelajarannya, Nur Nadia turut membimbing seorang lagi anaknya, Nur Haffiy, 2, mengenal huruf dan angka.

PKPD di Kampung Sinar Budi Baru berkuatkuasa Khamis lalu sehingga 23 Jun ini dengan kawalan ketat pihak berkuasa di semua laluan keluar masuk ke kampung berkenaan.

Seramai 607 penduduk yang tinggal di 113 rumah di kampung itu dilarang keluar sepanjang pelaksanaan PKPD susulan lebih 40 kes positif Covid-19 dikesan sejak minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 3:00 PM