NURFAZLINA berkongsi kegembiraan bersama ibu bapanya selepas mendapat 6A dalam UPSR.
NURFAZLINA berkongsi kegembiraan bersama ibu bapanya selepas mendapat 6A dalam UPSR.
Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman


Jerantut: Seorang ibu menahan debaran 20 minit sementara menunggu giliran nama anaknya dipanggil untuk menerima keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan (LKTP) Kota Gelanggi 1, di sini, semalam.

Selepas nama anaknya diumumkan sebagai pelajar cemerlang dengan memperoleh keputusan 6A, malah satu-satunya murid mendapat semua A dalam mata pelajaran diambil daripada 26 calon sekolah itu menyebabkan air mata gembira dan bangga seorang ibu mengalir tanpa dapat ditahan.

“Sebagai ibu, saya dapat rasakan anak mendapat 6A, terdahulu guru besar ada memaklumkan hanya seorang saja murid sekolah berkenaan mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran.

“Bagaimanapun, apabila nama anak diumumkan bersama keputusannya, saya tetap terkejut. Bagi saya, ini hadiah terindah untuk kami sekeluarga,” kata Nor Azizah Samsudin, 42.

Nor Azizah adalah ibu murid tahun enam, Nurfazlina Mohd Faziran, 12, yang menerima keputusan UPSR, semalam.

Azizah berkata, keputusan cemerlang diperoleh anaknya itu kegembiraan berganda memandangkan Nurfazlina juga adalah pelajar cemerlang Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dengan keputusan 8A diumumkan beberapa bulan lalu.

“Saya bersyukur dengan rezeki Allah anugerahkan kepada kami dan sebagai ibu saya sentiasa mendoakan kejayaannya dalam setiap perkara dilakukan.

“Harapan saya supaya dia menjadi contoh kepada adiknya yang lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di FELDA Kota Gelanggi 1, di sini, semalam.

Nurfazlina yang juga anak ketiga daripada lima beradik berkata, kejayaannya dalam peperiksaan UPSR adalah hasil sokongan dan nasihat tidak putus daripada kedua ibu bapanya.

“Saya berterima kasih kepada ayah (Mohd Faziran Mahmud, 46) dan ibu kerana membantu dari segi menyediakan buku latihan selain mengorbankan masa setiap kali menghantar ke kelas tambahan di sekolah.

“Saya harap dengan keputusan ini, saya dapat menyambung pelajaran ke sekolah agama supaya dapat merealisasikan cita-cita bergelar ustazah apabila besar nanti,” katanya yang turut memperoleh keputusan 6A dalam peperiksaan percubaan lalu.

Sementara itu, Mohd Faziran yang bekerja kampung berkata, dia tidak menyangka anaknya akan memperoleh keputusan cemerlang berikutan Nurfazlina lemah dalam beberapa mata pelajaran.

“Anak saya tidak gemar Matematik, namun dia masih berjaya memperoleh A. Saya agak terkejut juga apabila mendengar keputusan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 8:48 AM