Balqis Jazimah Zahari


SERAMAI 732 atau 2.47 peratus calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 di Perak memperoleh keputusan cemerlang A dalam semua mata pelajaran.

Keputusan itu menunjukkan peningkatan berbanding 624 calon atau 2.06 peratus mendapat semua A pada 2018.

Pengarah Pendidikan negeri Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata, sebilangan besar calon yang memperoleh keputusan cemerlang itu mengambil sembilan dan 10 mata pelajaran.

“Daripada kumpulan pelajar cemerlang berkenaan, seramai 18 calon yang mengambil 12 mata pelajaran, 104 calon (11 mata pelajaran), 286 calon (10 mata pelajaran), 294 calon (sembilan mata pelajaran), 15 calon untuk lapan mata pelajaran.

“Saya ingin memaklumkan bahawa Indeks Gred Purata Negeri (GPN) bagi 2019 adalah 4.91 berbanding 5.01 pada 2018, peningkatan sebanyak 0.10 mata,” katanya pada sidang media di sini di Perkarangan Atrium Gemilang Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak pagi ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari.

Beliau berkata, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman, Gerik menunjukkan peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) tertinggi dan sekolah yang mendapat Lonjakan Saujana berdasarkan GPS mulai 2017 hingga 2019 pula ialah Maahad Al-Ehya Asshariff, Simpang Empat Semanggol.

Katanya, jurang pencapaian calon di bandar dan luar bandar menurun sebanyak 0.15 mata GPN iaitu 0.28 pada 2019 berbanding 0.43 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 11:59 AM
ABDUL Aziz dan Mohd Suhaimi berbual bersama pelajar cemerlang di Perkarangan Atrium Gemilang Jabatan Pendidikan Negeri Perak. FOTO Balqis Jazimah Zahari
ABDUL Aziz dan Mohd Suhaimi berbual bersama pelajar cemerlang di Perkarangan Atrium Gemilang Jabatan Pendidikan Negeri Perak. FOTO Balqis Jazimah Zahari